KLUANG – Seorang remaja maut selepas motosikal jenis Yamaha Y15ZR ditunggangnya bergesel dengan sebuah lori tunda di Kilometer (KM) 95, Jalan Batu Pahat – Mersing tengah malam tadi.
Nahas itu menyebabkan mangsa cedera parah di bahagian kepala, badan sebelah kanan dan tangannya terputus, kata Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Bahrin Mohd. Noh.
Manakala pemandu lori yang hanya dikenali sebagai Nazarludin,48 hanya mengalami kecederaan ringan.
Menurutnya, kejadian itu berlaku kira-kira pukul 12.20 tengah malam ketika mangsa Mohammad Haziq Haiqal, 18, yang datang dari Mersing bertembung dengan lori dari arah bertentangan.
Beliau berkata, mangsa meninggal dunia di tempat kejadian.
”Hasil siasatan mendapati kedua-dua kenderaan terbabit bergesel di tengah-tengah jalan di lokasi berkenaan.
“Ia berdasarkan serpihan yang ditemui pihak polis di atas garisan berkembar jalan terlibat,” katanya.
Menurut Bahrin lagi, pemandu lori tunda itu bertindak melarikan diri ekoran bimbang dipukul penduduk kampung.
Tetapi dia membuat laporan di Bahagian Trafik Ibu Pejabat Daerah (IPD) Kluang.
Pemandu terlibat kemudian ditahan untuk pemeriksaan air kencing.
Kes di siasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 bagi mengenal pasti punca kejadian sebenar. – MalaysiaGazette