SHAH ALAM – Kerajaan membuka ruang seluas-luasnya kepada golongan agamawan terutama ulama untuk memberi teguran kepada pentadbiran kerajaan.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan hari ini sangat mengalu-alukan teguran itu untuk memperbaiki segala kelemahan yang ada.
“Tiada langsung perbezaan pendapat, ulama boleh tegur dengan baik, menghormati dan mendampingi supaya dapat diperbaiki, itu yang ditekankan oleh kedua-dua ulama.
“Bukan untuk mencerca dan kita nak menghukum,” katanya pada pemberita selepas merasmikan Program Muzakarah Ulama-Umara sempena Festival Turath Islam Selangor 2023 di sini hari ini.
Majlis anjuran Kerajaan Negeri Selangor itu turut mengundang bekas Mufti Agung Mesir, Syeikh Dr. Ali Jum’ah serta Pengasas dan Pengetua Darul Musthafa, Tarim di Yaman, Al-Habeeb Umar Hafiz.
Perdana Menteri juga mengingatkan Jemaah Menteri agar menjawab dengan baik apabila menerima teguran daripada ulama.
“Bila kepimpinan dengan ulama, bercakap dengan ikhlas dan berani menegur dan diterima dengan baik teguran itu dan menjawab dengan baik,” katanya.- MalaysiaGazette