Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia memulakan dagangan Jumaat dengan lebih tinggi namun susut kemudiannya susulan jualan berterusan saham wajaran tinggi dalam sentimen pasaran Asia yang bercampur-campur.

Pada 9.17 pagi, indeks petunjuk utama FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) berkurangan 2.51 mata kepada 1,399.97 daripada 1,402.48 sewaktu ditutup semalam.

Indeks tersebut dibuka mengukuh 0.45 mata pada 1,402.93.

Pasaran secara meluas menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung iaitu 211 berbanding 162 manakala 232 kaunter tidak berubahh; 1,671 tidak diniagakan manakala 26 lain digantung dagangannya.

Jumlah dagangan sebanyak 287.93 juta unit bernilai RM186.64 juta.

Sementara itu, Malacca Securities Sdn Bhd dalam nota penyelidikannya berkata pengumuman mengenai kadar inflasi Malaysia hari ini akan menjadi tumpuan ramai.

“Indeks FBM KLCI kekal suram berikutan tekanan jualan berterusan dalam saham perbankan dan perladangan.

“Kami juga percaya aktiviti memburu saham berharga rendah di bursa tempatan akan muncul selepas ekonomi Amerika Syarikat (AS) tidak menunjukkan sebarang tanda kemelesetan selepas pengumuman data keluaran dalam negara kasar (KDNK) bagi suku pertama 2023 yang lebih tinggi daripada jangkaan awal,” katanya.

Bagi komoditi, firma pembrokeran itu berkata harga minyak mentah Brent turun ke paras US$76 setong manakala harga minyak sawit mentah melepasi paras RM3,500 satu tan dan harga emas terus melonjak kepada US$1,940 setiap auns.

Saham wajaran tinggi menyaksikan Maybank dan Public Bank naik 3.0 sen masing-masing kepada RM8.59 dan RM3.92; Petronas Chemicals meraih 1.0 sen kepada RM6.98 manakala Tenaga Nasional susut 5.0 sen kepada RM9.53 dan CIMB Group tidak berubah pada RM4.96.

Bagi saham aktif, YTL Corporation naik 2.5 sen kepada 80.5 sen; Revenue Group menokok 1.0 sen kepada 27.5 sen; YTL Power International menambah 7.0 sen kepada RM1.22 manakala Vinvest Capital dan Velesto Energy susut setengah sen kepada 6.5 sen dan 22.0 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas susut 22.45 mata kepada 10,261.96; Indeks FBMT 100 turun 22.01 mata kepada 9,967.95; Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 56.34 mata kepada 10,587.76; Indeks FBM 70 merosot 46.53 mata kepada 13,378.49 dan Indeks FBM ACE menguncup 40.51 mata kepada 4,903.68.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.49 mata kepada 163.65; Indeks Perladangan merosot  96.86 mata kepada 6,708.89 dan Indeks Tenaga menguncup 5.39 mata kepada 813.37 manakala Indeks Perkhidmatan Kewangan menokok 44.54 mata kepada 15,362.97.  – BERNAMA