KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) digesa menarik balik tender perolehan membekalkan Label Keselamatan Hologram Bagi Produk Farmaseutikal Berdaftar.

Presiden Persatuan Pengusaha Percetakan Melayu Malaysia (PPPMM) Datuk Badruddin Abu Bakar berkata, ini kerana isu perolehan tersebut dilihat mempunyai kepincangan dan membimbangkan.

Antara yang dipertikaikannya adalah tender bernilai RM120 juta yang terbuka kepada pembekal yang berdaftar dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM).

“Apa fungsi EP jika tender yang dikeluarkan oleh pihak kerajaan hanya memerlukan pembekal berdaftar dengan SSM sahaja.

“Untuk makluman, ePerolehan merupakan sistem perolehan elektronik yang membolehkan pembekal menawarkan produk dan perkhidmatan kepada Kerajaan melalui Internet. ePerolehan bertindak sebagai medium alternatif untuk para pembekal mendaftar/memperbaharui Sijil Kementerian Kewangan Malaysia (MOF),” katanya ketika sidang media.

Selain itu beliau mendakwa, harga dokumen tender bernilai RM5,000 terlalu mahal.

Ujar Badruddin lagi, jumlah berkenaan sudah tentu menjadi penghalang kebanyakan pembekal untuk mengambil bahagian dalam tender tersebut.

“Tempoh serahan dokumen-dokumen serta contoh barang yang terlalu singkat iaitu selama 21 hari. Dimana semua dokumen perlu diserahkan secara manual,” katanya lagi.

Sehubungan itu, beliau memohon supaya KKM mengkaji semula tata kelola berkaitan isu perolehan berkenaan dan membuat panggilan tender baharu.

PPPMM berharap Kementerian Kewangan serta Kementerian Kesihatan Malaysia memgambil serius dengan pengiklanan tender-tender yang berkaitan dengan sistem keselamatan kesihatan.

Selain itu, mengetatkan lagi aspek pematuhan mana-mana agensi kerajaan terhadap pekeliling kementerian berhubung kerja-kerja mencetak atau pembekalan yang melibatkan Label Keselamatan Hologram Bagi Produk Farmaseutikal atau lain-lain yang berkaitan dengan sistem keselamatan kesihatan yang ditawarkan oleh kementerian, jabatan serta agensinya,’ tambah beliau.

Dalam pada itu, beliau memohon supaya kerajaan memberi ruang, perhatian, peluang serta sokongan sewajarnya kepada percetak Bumiputera.-MalaysiaGazette