Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bursa Malaysia dijangka terus diniagakan berhati-hati minggu depan di tengah-tengah kebimbangan terhadap perkembangan ekonomi global, kata seorang penganalisis.

Naib presiden penyelidikan ekuiti Rakuten Trade Sdn Bhd Thong Pak Leng berkata, sentimen pasaran tempatan diunjur kekal berhati-hati sehingga isu had siling hutang Amerika Syarikat (AS) diselesaikan, walaupun aktiviti membeli saham berharga rendah juga turut dijangka muncul.

“Oleh itu, kami menjangkakan FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) diniagakan dalam jajaran kecil pada minggu depan dalam jajaran 1,400-1,410 mata. Dari segi teknikal, kami menjangkakan sokongan segera berada pada 1,400 dan paras ketahanan pada 1,440.

“Selain itu, kami percaya tumpuan minggu depan dijangka terarah kepada isu had siling hutang AS dan keputusan pendapatan korporat tempatan,” katanya kepada Bernama.

Bagi asas Jumaat ke Jumaat, FBM KLCI turun 25.56 mata untuk ditutup minggu ini kepada 1,402.98 daripada paras 1,428.54 pada minggu sebelumnya.

Sepanjang minggu yang baru berakhir ini bursa tempatan berada dalam aliran menurun dipengaruhi terutamanya oleh faktor luaran, iaitu kebimbangan terhadap kemajuan isu had siling hutang AS dan ketegangan China-AS menjadi semakin buruk, yang menjejaskan sentimen di seluruh rantau ini.

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 178.28 mata kepada 10,296.47, Indeks FBMT 100 susut 167.73 mata kepada 10,002.63, Indeks FBM Emas Shariah jatuh 160.48 mata kepada 10,669.03, Indeks FBM 70 berkurangan 165.75 mata kepada 13,480.00, dan Indeks FBM ACE jatuh 22.00 mata kepada 4,980.90.

Mengikut sektor, Indeks Perladangan jatuh 271.29 mata kepada 6,755.26, Indeks Tenaga susut  31.22 mata kepada 808.31, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 301.80 mata kepada 15,304.43 dan Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian berkurangan 0.91 mata kepada 164.08.

Jumlah dagangan mingguan jatuh kepada 12.60 bilion unit bernilai RM9.06 bilion berbanding 13.33 bilion unit bernilai RM8.18 bilion pada minggu sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Utama berkurangan kepada 8.01 bilion saham bernilai RM7.80 bilion berbanding 8.39 bilion saham bernilai RM7.05 bilion.

Jumlah dagangan waran turun kepada 1.60 bilion unit bernilai RM222.39 juta daripada 1.85 bilion unit bernilai RM288.01 juta.

Jumlah dagangan Pasaran ACE susut kepada 2.95 bilion saham bernilai  RM875.29 juta daripada 3.08 bilion saham bernilai RM830.39 juta pada minggu sebelumnya. – BERNAMA