Fahmi Fadzil

PUTRAJAYA – Pendekatan model dwirangkaian yang digunakan dalam membangunkan infrastruktur dan rangkaian 5G negara akan membuka peluang kepada liputan yang lebih menyeluruh sekali gus menambah baik kualiti perkhidmatan telekomunikasi.

Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil berkata, perubahan tersebut tidak memberi impak negatif kepada pengguna 5G sedia ada.

Menurut beliau, pengguna akan terus menikmati perkhidmatan 5G sedia ada yang dilanggan daripada pihak penyedia perkhidmatan masing-masing.

“Setelah pelaksanaan rangkaian 5G oleh Digital Nasional Berhad (DNB) mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk, operasi dan pembangunan rangkaian tersebut akan diteruskan oleh entiti A.

“Entiti B kemudiannya akan dibentuk menerusi penyertaan daripada pengendali rangkaian mudah alih (MNO) bagi melengkapkan model dwirangkaian,” katanya dalam taklimat khas kepada media berhubung hala tuju 5G negara di Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) baru-baru ini.

Pada masa yang sama, Fahmi memberitahu, apabila beralih kepada model dwirangkaian kelak, rangkaian 5G DNB akan kekal beroperasi dan terus diperluaskan melangkaui 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Beliau menambah, setakat ini, DNB telah berjaya membangunkan rangkaian 5G dengan liputan di kawasan berpenduduk pada tahap 59.5 peratus setakat 30 April lalu sekali gus semakin menghampiri sasaran 80 peratus menjelang penghujung tahun ini.

“Kerajaan akan meneruskan pelaksanaan keputusan untuk membuka 70 peratus pegangan ekuiti dalam DNB kepada pihak penyedia perkhidmatan. Peralihan kepada dwirangkaian akan memberikan persaingan sihat, meningkatkan penerimagunaan dan memperkukuh daya saing infrastruktur digital negara,” jelasnya.

Fahmi berkata, setakat ini, perbincangan berhubung komposisi MNO atau syarikat telekomunikasi yang bakal menjadi sebahagian daripada entiti B masih berjalan.

Berbeza dengan DNB, beliau menjelaskan, kerajaan tidak akan memiliki pegangan dalam entiti B yang dijangka beroperasi seawal tahun depan.

“Kerajaan melalui KKD akan memperhalusi proses dan kriteria pelantikan pelaksana rangkaian bagi memastikan usaha peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar,” katanya.

Fahmi turut mengumumkan penubuhan pasukan petugas di bawah KKD yang bertujuan memastikan pelaksanaan rangkaian 5G di bawah DNB berjaya mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.

Menurut beliau, inisiatif tersebut adalah susulan pertemuan KKD bersama pihak penyedia perkhidmatan pada 8 Mei lalu.

Tambah Fahmi, pasukan petugas tersebut juga berperanan memastikan proses peralihan kepada model dwirangkaian berjalan dengan lancar awal tahun depan.

“Pasukan petugas ini akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan Ketua Setiausaha KKD serta diurusetiakan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

“Selain itu, pasukan petugas ini akan turut dianggotai oleh DNB dan penyedia perkhidmatan termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), YTL Communications (YTL) dan U-Mobile serta pihak-pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.

“Adalah menjadi matlamat utama pasukan petugas ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan,” jelasnya.

Pada masa yang sama, Fahmi berharap penubuhan pasukan petugas berkenaan berupaya menangani kekangan yang dihadapi dalam pelaksanaan 5G.

Salah satu kekangan yang dikenal pasti adalah berkaitan penyelarasan dalam kalangan pihak berkuasa tempatan (PBT) di seluruh negara berhubung perkhidmatan telekomunikasi, katanya.

“Ada sesetengah PBT yang kenakan empat fi, ada yang sampai 14 fi, ada sesetengah PBT pula kenakan caj bagi pemasangan perkhidmatan jalur lebar berkelajuan tinggi, tidak benarkan guna monopol, kena guna paip bawah tanah, jadi perkara ini semua ada kos tambahan,” katanya. – MalaysiaGazette