Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LANGAT – Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan, tiada sebarang kompromi terhadap pihak-pihak yang cuba memainkan isu perkauman dan agama.

Timbalan Perdana Menteri berkata, bukan sahaja Islam malah termasuk dalam soal agama lain serta bangsa.

“Tidak akan pernah luntur rasa kemelayuan kita dan tidak jauh kalau kita menyantuni bukan agama kita.

“Ini bertujuan untuk menjaga keharmonian negara kita kerana Malaysia merupakan sebuah negara yang bermasyarakat majmuk…kemajmukan inilah yang harus disantuni,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Anugerah Gerakan Belia 4B Malaysia Sempena Persidangan Agung Tahunan ke-42 dan 43, di Universiti Mahsa, di sini, malam ini.

Menyentuh mengenai soal kestabilan, Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata, bukan sahaja dalam bidang politik, kestabilan itu penting untuk pembangunan negara ini.

Malah katanya, ia juga penting untuk pertumbuhan ekonomi negara, selain menjamin kesejahteraan rakyat.

“Saya menyeru kepimpinan Belia 4B dan ahli bantu saya untuk sama-sama merealisasikan semua misi kepimpinan negara,” ujarnya.

Dalam pada itu Ahmad Zahid menggesa agar kepimpinan Belia 4B yang bakal dilantik melihat realiti politik baharu negara yang telah berubah dan sedang didepani.

Katanya, organisasi belia perlu melihat perlembagaan organisasi itu yang fokusnya bukan sahaja bagi ahli-ahli tapi untuk semua.

Beliau turut mengajak Belia 4B supaya meningkatkan tahap ekonomi dengan menyertai peluang-peluang yang ada menerusi kursus-kursus ditawarkan dalam Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).

Ujarnya, TVET merupakan agensi di bawah kementeriannya yang banyak membuka ruang kepada mereka yang menyertai untuk membina kehidupan lebih baik dan ia perlu direbut oleh mereka. – MalaysiaGazette