Presiden FAM, Datuk Hamidin Mohd Amin

KUALA LUMPUR – Ketua Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 Datuk Hamidin Mohd Amin meminta semua pihak berhenti menyalahkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh atas kegagalan Malaysia mencapai sasaran pada Sukan SEA 2023 di Kemboja baru-baru ini.

Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dan Timbalan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) itu berkata Hannah sudah bekerja keras walaupun baru dilantik sebagai menteri dan mempunyai tempoh yang singkat dalam menerajui persiapan kontinjen negara bagi temasya sukan dwitahunan itu.

Hamidin berkata tumpuan juga perlu diberikan kepada Majlis Sukan Negara (MSN) bagi meningkatkan lagi prestasi atlet negara selepas Malaysia hanya mengumpul keseluruhan 34 berbanding 40 emas yang disasarkan.

“Beliau (Hannah) buat tugas yang baik sehingga hari ini, kita tidak boleh menyalahkannya, beliau baru enam bulan (jadi menteri). Beliau setiap hari jumpa dengan presiden persatuan sukan kebangsaan,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis menandatangani perjanjian penajaan antara Milo dan MOM di sini, hari ini.

“Di sini MSN perlu bertanggungjawab juga kerana mereka antara yang berkolaborasi dengan persatuan. Kami akan lihat kelemahan yang perlu diperbaiki menjelang Sukan SEA 2025 dan terutama Sukan SEA 2027 kerana kebanyakan dana datang dari MSN,” tambah beliau.

Kontinjen negara membawa pulang keseluruhan 34 pingat emas, 45 perak dan 97 gangsa di Kemboja, iaitu pencapaian yang sedikit lebih baik daripada kutipan 31 emas pada edisi 1995 di Chiang Mai, Thailand.

Namun berdasarkan kedudukan carta pingat, Malaysia menamatkan saingan di posisi terburuk apabila menduduki tempat ketujuh buat kali pertama dalam sejarah Sukan SEA selepas menghuni tangga keenam pada edisi di Hanoi, Vietnam tahun lepas.

Justeru, beberapa pihak mendesak Hannah membuat permohonan maaf susulan kegagalan di Kemboja, malah terdapat juga yang mempertikai kenyataan Ahli Parlimen Segambut itu bahawa ketidakstabilan politik menjejaskan prestasi barisan atlet negara.

Sementara itu, Hamidin gembira dengan komitmen ditunjukkan Milo yang terus konsisten memberi sumbangan kepada kemajuan sukan negara menerusi perjanjian penajaan hingga 2028 dengan dana akan disalurkan bagi persediaan menghadapi Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.

Perjanjian itu ditandatangani Setiausaha Agung MOM Datuk Mohd Nazifuddin Najib dan Pegawai Eksekutif Perniagaan Milo Ng Su Yen, disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Nestle (Malaysia) Berhad Juan Aranols dan Hamidin.

Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran bekas jaguh sukan dan atlet elit kebangsaan iaitu atlet wanita negara pertama beraksi di Sukan Olimpik Annie Choong (olahraga), Tan Sri Dr M. Jegathesan (olahraga), Datuk Soh Chin Aun (bola sepak), Nurul Huda Abdullah (renang), Datuk Rashid Sidek (badminton), Ng Shu Wai (gimnastik artistik) dan ratu terjun negara Datuk Pandelela Rinong. – BERNAMA

1 Komen

  1. Nak mengampu pun agak agak lah. Nak banding pencapaian tahun 1991 dan 2023 tu nak perbodohkan siapa? Cakap tu biarlah logik. Malu tau. Tak ada kena mengena dengan politik pun. Carilah menteri atau tokoh lain yang mampu. Contohnys Tsn Sri Megat Zulkarnan Omar Din. Tokoh ahli sukan.

Comments are closed.