Pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM)

KUALA LUMPUR – Orang ramai diingatkan agar tidak panik apabila mendengar bunyi siren di tiga tempat – masing-masing satu di Perlis dan dua di Pulau Pinang, bermula antara jam 9 pagi hingga 10 pagi esok.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) berkata, bunyi siren itu hanyalah satu ujian semata-mata bagi pengujian siren Sistem Amaran Awal Tsunami Malaysia (SAATNM).

“Met Malaysia akan melaksanakan pengujian siren SAATNM pada 30 Mei 2023 (Selasa) di beberapa lokasi.

“Penduduk di kawasan sekitar dinasihatkan agar tidak panik dengan bunyi siren tersebut kerana ia merupakan suatu ujian sahaja.

“Met Malaysia akan memaklumkan jika terdapat sebarang pindaan,” katanya MetMalaysia di akaun rasmi Facebook, hari ini.

Antara lokasi pengujian SAATNM ialah di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis, Perlis bermula jam 9 pagi hingga 12 tengah hari.

Manakala dua lagi di Pulau Pinang melibatkan Masjid Hidayah, Kuala Muda Penaga (10 pagi – 4 petang) dan Masjid Jamek, Bagan Belat (10 pagi – 4 petang).

SAATNM berperanan untuk mengesan gempa bumi yang berlaku di rantau ini dan seterusnya mengeluarkan maklumat gempa bumi tersebut serta nasihat atau amaran jika ianya berpotensi menjana ombak tsunami. – MalaysiaGazette