Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri bergambar kenangan dengan para hadirin selepas Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual di Hotel Double Tree Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 MEI 2023.

KUALA LUMPUR – Bilangan kes gangguan seksual yang dilaporkan mencatatkan peningkatan sebanyak 308 kes pada 2019 dan meningkat kepada 378 kes pada 2020.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri memberitahu, jumlah itu meningkat lagi kepada 506 kes pada 2021 menerusi  statistik yang dilaporkan Polis Diraja Malaysia.

Beliau berkata, jumlah kes yang dilaporkan melibatkan kedua-dua jantina iaitu lelaki dan wanita.

“Bagaimanapun, data tersebut juga menunjukkan majoriti tujuh kes yang dilaporkan adalah melibatkan mangsa wanita berbanding lelaki.

“Isu gangguan seksual perlu diberi perhatian yang khusus kerana ia boleh mendorong kepada perlakuan jenayah seksual lain yang lebih berat dan serius seperti serangan atau keganasan seksual termasuk ugutan dan rogol.

“Perlakuan gangguan seksual tidak wajar dianggap kecil, remeh dan tidak penting kerana ia memberi kesan negatif terutamanya kepada psikologi mangsa seperti trauma, fobia, takut dan seterusnya menjejaskan rutin harian, produktiviti, kesejahteraan dan kehidupan mangsa secara keseluruhannya,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Pelancaran Jerayawara Advokasi Antigangguan Seksual yang disempurnakan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi di sini hari ini.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi diiringi Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri menurunkan tandatangan sebagai gimik pelancaran pada Majlis Pelancaran Jerayawara Program Advokasi Antigangguan Seksual di Hotel Double Tree Putrajaya. Foto AFFAN FAUZI, 29 MEI 2023.

Mengulas lanjut, Nancy menambah, jerayawara pelaksanaan program advokasi itu memfokuskan perkara menggalakkan penggunaan garis panduan dalam melaksanakan program advokasi antigangguan seksual.

Jelas beliau, ia juga menggalakkan penggunaan logo, tagline dan notis mengenai gangguan seksual dalam semua aktiviti/ program promosi dan hebahan di premis masing-masing dan menjalinkan kolaborasi strategik dengan semua pihak bagi meningkatkan pencegahan dan kesedaran gangguan seksual.

“Program ini juga bertujuan untuk memberikan kesedaran, pendidikan dan pemahaman mengenai gangguan seksual kepada masyarakat melalui Garis Panduan Pelaksanaan Program Advokasi Antigangguan Seksual.

“Program Advokasi ini diharap dapat membuka mata masyarakat agar budaya menormalisasikan gangguan seksual dapat dihapuskan.

“Antara inisiatif yang boleh dilaksanakan bagi meningkatkan kesedaran mengenai gangguan seksual ialah seperti menyediakan platform latihan untuk membangunkan amalan komuniti seperti melatih pekerja sosial dan sukarelawan yang akan membantu untuk mengesan dan mengambil tindakan awal terhadap gangguan seksual,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast