Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Dalang penipuan skim pelaburan Investment HSBC Bank yang menjanjikan pulangan modal sehingga 70 peratus berjaya diberkas.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, tangkapan dibuat selepas pihaknya menerima laporan berkenaan skim pelaburan tersebut pada Khamis yang lalu.

Ujarnya, suspek utama merupakan wanita berumur 60 tahun.

“Berdasarkan siasatan, skim pelaburan ini mula beroperasi sejak awal tahun 2023 dan menawarkan pulangan sebanyak 30 hingga 70 peratus dari modal pelaburan yang dikeluarkan,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Noorsiah berkata, skim penipuan btersebut turut menawarkan slot-slot saham yang menjanjikan keuntungan sehingga 100 peratus dalam tempoh 72 jam.

“Bagaimanapun setelah mangsa membuat pindahan wang keuntungan yang dijanjikan tidak dibayar,” katanya lagi.

Menurutnya, semakan mendapati suspek mempunyai rekod lampau berkaitan dua kes penipuan pelaburan berkaitan penjualan minyak diesel.

Sementara itu, Noorsiah berkata, suspek kini direman selama lima hari bermula Jumaat yang lalu dan disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette