Cawangan Insken di Penampang, Sabah

KUALA LUMPUR – Institut Keusahawanan Negara Berhad (Insken) membuka pejabat cawangan yang pertama di Sabah.

Pejabat baharu itu telah dirasmikan oleh Datuk Ewon Benedick, Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Pembukaan pejabat cawangan yang dikenali sebagai Kampus Insken (Sabah) ini adalah usaha untuk menarik lebih ramai usahawan menyertai program latihan dan bimbingan anjuran Insken.

Tambahan pula, Insken turut memandang kepentingan untuk tidak mengetepikan usahawan di Sabah yang harus dibantu sama seperti usahawan di Semenanjung Malaysia.

 

Menteri Pembangunan Usahawan & Koperasi, Datuk Ewon Benedick menandatangani plak perasmian Kampus Insken Sabah di Penampang.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Insken, Muhd Firdaus Azharuddin, usahawan Sabah sentiasa memberi sokongan padu daripada institut itu.

” Ini merupakan langkah yang tepat agar usahawan Sabah mendapat akses lebih mudah dan cepat untuk bertemu, berkomunikasi serta mendapatkan bantuan latihan dan bimbingan daripada Insken,” katanya.

Selain ruangan pejabat, ia juga dilengkapi dengan bilik latihan yang boleh memuatkan 30 peserta bagi setiap program.

Tambahan pula, Insken turut berhasrat memudahkan usahawan di Sabah yang tidak mempunyai kelengkapan teknologi maklumat dengan menyediakan ruangan kerja beserta komputer dan mesin pencetak untuk digunakan.

Kampus Insken Sabah akan beroperasi dari hari Isnin – Jumaat bermula jam 8.30 pagi hingga 5.30 petang.

Selain secara dalam talian, usahawan di Sabah juga digalakkan untuk ke kampusnya yang terletak di Lot 10, Wisma IDS, Penampang Sabah untuk mendapatkan maklumat lanjut mengenai program latihan dan bimbingan anjurannya. – MalaysiaGazette