Para pelajar UTHM menyantuni seorang gelandangan di sekitar Batu Pahat.

BATU PAHAT – Sebagai tanda prihatin universiti kepada komuniti, 37 pelajar dari Kursus Kokurikulum Berkredit Pembimbing Rakan Sebaya, Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) telah menyantuni para gelandangan sekitar bandar Batu Pahat melalui program Sentuhan Kasih Gelandangan.

Sebanyak 30 bungkusan makanan berjaya diedarkan kepada golongan gelandangan yang melibatkan beberapa lokasi seperti terminal bas dan jalan di sekitarnya terutama di kaki lima bangunan dan deretan kedai.

Aktiviti khidmat komuniti tersebut dilaksanakan bertujuan untuk mencapai matlamat yang termaktub dalam Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) iaitu matlamat ke-2 (kelaparan sifar).

Program anjuran Pusat Pengajian Umum dan Kokurikulum (PPUK) dengan kerjasama Persatuan Kebajikan Setia Sejagat Batu Pahat (NGO) dan Ibu Pejabat Polis Daerah Batu Pahat (IPD) itu turut melibatkan penyertaan tujuh staf Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan lima anggota polis.

Menurut pengarah program, Amirul Sufian, mereka mengambil keputusan untuk bergotong-royong memasak sendiri nasi berlauk sebelum mengagihkan makanan tersebut kepada gelandangan.

“Selain sebagai tanda prihatin, program ini memberi peluang kepada golongan tersebut menikmati makanan sihat dan berkualiti.

“Pelaksanaannya juga bagi memupuk sikap prihatin pelajar terhadap golongan yang kurang berkemampuan sekali gus meningkatkan kemahiran komunikasi kami dalam menyantuni golongan seumpama itu.

“Program ini juga diharap dapat memberi contoh teladan kepada penduduk setempat untuk berkongsi rezeki dengan golongan gelandangan,” katanya.

Sementara itu, pengajar kursus, Khadijah Maulad Bahrol pula berkata, kejayaan program ini bukan sahaja hasil komitmen pelajar, tetapi juga hasil sumbangan dan sokongan daripada pihak NGO serta IPD Batu Pahat.

“Mereka telah menyumbangkan tenaga dalam membantu pelajar menyediakan makanan dan memastikan keselamatan pelajar sewaktu pengagihan makanan dijalankan,” katanya.

Beliau berharap program sebegini dapat dijalankan secara berterusan bagi membantu golongan kurang bernasib baik khususnya di negeri Johor.

“Pada masa yang sama usaha ini sebagai sokongan moral kepada gelandangan agar mereka terus terinspirasi untuk berusaha ke arah hidup yang lebih baik dan secara tidak langsung dapat membantu kerajaan mencapai hasrat Bandar Sifar Gelandangan,” tambah beliau. – MalaysiaGazette