Izwan Zainuddin memberi penerangan kepada belia Orang Asli yang menyertai Program ECO.

KUALA LUMPUR – Perbadanan Usahawan Nasional Berhad (PUNB) memperkenalkan program baharu iaitu Empowering Orang Asli Communities (ECO), Through Skills and Training’ bagi memperkasa komuniti orang asli melalui kemahiran dan latihan.

Program ini bagi meneruskan agenda menyokong dan mempromosikan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).

Program ECO ini adalah kerjasama strategik antara PUNB dan rakan usahawan dalam bidang automotif untuk melatih belia orang asli berusia 18 hingga 30 tahun untuk menjalani latihan sambil bekerja di bengkel-bengkel kenderaan milik Rakan Usahawan PUNB yang terpilih.

Ketua Pegawai Eksekutif PUNB, Izwan Zainuddin berkata, PUNB memilih untuk memperkenalkan program ECO bagi memperkasakan kehidupan orang asli dan merapatkan jurang ketidaksamaan dalam ekonomi.

“Dalam tempoh beberapa tahun ini, PUNB telah melakukan penambahbaikan berterusan terhadap langkah-langkah yang menyokong dan mempromosikan SDG sebagai bahagian penting dalam operasi kami.

“Ia sejajar dengan agenda utama SDG PUNB dalam mencapai keseimbangan keperluan pembangunan operasi dan menyumbang impak positif kepada masyarakat,”katanya dalam kenyataannya di sini, hari ini.

Justeru, PUNB komited untuk membantu belia orang asli ini dengan menggalakkan keterangkuman sosial melalui penglibatan meluas di dalam bidang kemahiran dan aktiviti yang boleh meningkatkan taraf ekonomi mereka.

Seramai 10 belia Orang Asli yang berasal dari perkampungan Orang Asli di sekitar Jerantut, Pahang terpilih dalam projek rintis ini.

Mereka yang terpilih akan menjalani latihan selama enam bulan bermula Jun depan di bengkel- bengkel Rakan Usahawan PUNB yang terletak di Temerloh, Pahang; Bangi, Banting dan Cyberjaya, Selangor.

Peserta program ini akan diberikan elaun bulanan serta kemudahan penginapan sepanjang program.

Lima Rakan Usahawan PUNB terpilih akan bertindak sebagai mentor dengan memberi latihan dan tunjuk ajar kepada peserta.

Rakan Usahawan PUNB yang terlibat ialah Awie Tayar & Services, Maxipura Sdn Bhd, Kah Millenium Work Sdn Bhd, Azam MM Sdn Bhd dan Wan Nor Auto Services Sdn Bhd.

Izwan berkata, pihaknya berterima kasih kepada Presiden Persatuan Automatif Prosper Malaysia (Autopro), Abdul Muner Hanafiah dan ahli-ahli Autopro di atas kerjasama yang diberikan untuk menjayakan program ini. – MalaysiaGazette