pecah amanah
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi Foto MUHD NA’IM, 30 MEI 2023.

PUTRAJAYA – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak akan berkompromi terhadap perbuatan pecah amanah dan rasuah melibatkan mana-mana pegawai atau kakitangan Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) serta agensi-agensinya.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah menyifatkan tindakan segelintir individu terbabit sebagai ‘nila setitik’ yang menyebabkan persepsi terhadap organisasi bertukar menjadi negatif.

“Kerana nila yang setitik itulah yang merosakkan prestasi, ini bukan hanya soal persepsi tetapi ini soal integriti.

“Saya memandang bahawa soal integriti mesti diperlihatkan bukan hanya didendangkan maka soal jika ada di kalangan saya sendiri, timbalan menteri atau mana-mana pegawai dan kakitangan yang melakukan rasuah saya tidak akan berkompromi untuk mengambil tindakan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perkhidmatan Cemerlang dan Apresiasi KKDW 2022 di sebuah hotel di sini, hari ini.

Turut hadir, Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang.

Pada majlis tersebut, Ahmad Zahid menyampaikan Pingat dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang kepada pegawai serta kakitangan KKDW serta agensi-agensi di bawahnya,

Media sebelum ini melaporkan seorang penolong akaun di Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) ditahan bagi membantu siasatan berhubung dakwaan pecah amanah di agensi di bawah KKDW tersebut.

Suspek yang merupakan lelaki berumur 37 tahun ditahan di rumahnya di Gua Musang dan direman tujuh hari mulai Sabtu lalu.

Penahanan itu susulan laporan diterima polis berkait salah laku oleh kakitangan Kesedar mengenai kehilangan wang kerajaan yang diuruskan oleh Bahagian Kewangan Kesedar melalui Kumpulan Wang Amanah dan Kumpulan Wang Pembangunan dari Disember 2016 hingga Mei 2023. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Biar betul ZAHID HAMIDI nak CUCI rasuah dan PECAH Amanah!!!! herannya dah hujung-hujung PENGHUJUNG bulan ni…. tanda bertambah dekat PRN 6 NEGERI.. ZAHID dah HIDU tanda-tanda ke ingat tadi BURUNG KAKAKTUA… rupanya really Wak… ni BUKAN COBAAN.. tapi bebetul Wak Welanon…
    ok ambil masa ZAHID belajar bertabah…
    goodbye Zahid Hamidi

Comments are closed.