Tan kok wai dap
Tan Kok Wai

KUALA LUMPUR – Penasihat Kebangsaan DAP, Tan Kok Wai berkata, tiada sesiapa yang mengajak Pas untuk menyertai Kerajaan Perpaduan.

Beliau berkata,  DAP juga akan menjadi parti pertama yang membantah kemasukan Pas dalam Kerajaan Perpaduan dan perkara itu merupakan sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

“Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata terdapat orang dari Kerajaan Perpaduan yang mengajak mereka untuk turut serta.

“Ini cakap besar. Kerajaan Perpaduan tidak akan mungkin mengajak satu parti yang mencadangkan kerajaan Islam dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kami mahu laksanakan Malaysia Madani, mahu bersederhana, bersifat terbuka, berinovasi dan berwawasan. Tiada tempat untuk Pas,” katanya seperti dipetik Kwong Wah Yit Poh selepas menghadiri satu program pertubuhan etnik Cina di Selangor.

Kok Wai berkata, Malaysia boleh berubah secara baik jika menghala ke arah dasar pentadbiran yang sederhana dan majmuk.

Abdul Hadi sebelum ini mendedahkan beliau pernah dihubungi beberapa kali oleh orang tertentu yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

Presiden Pas tersebut bagaimanapun mempersoalkan tawaran itu yang sepatutnya memberi kelebihan kepada Pas kerana mempunyai kerusi yang lebih banyak daripada parti lain. – MalaysiaGazette