JOHOR BAHRU – Polis mengesahkan penahanan tiga lagi suspek yang dipercayai terlibat dalam kejadian pergaduhan di kawasan Tampoi di sini Sabtu lalu.
Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, kejadian 11.40 malam itu dipercayai berlaku rentetan pergaduhan yang membabitkan pelajar sekolah di Kempas pada Rabu lalu.
Setakat ini, menurutnya, seramai 12 suspek termasuk beberapa pelajar sekolah yang berusia 17 hingga 35 tahun telah ditahan bagi membantu siasatan dijalankan.
“Selepas kejadian pergaduhan, pihak polis telah mengadakan pertemuan dengan ketua masyarakat serta penduduk setempat bagi menuetralkan keadaan yang tegang.
“Tetapi kami (pihak polis) difahamkan selang tiga hari kemudian, ada beberapa pihak yang mengambil kesempatan mengeruhkan keadaan apabila menyerang seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Tampoi.
“Mereka ini tidak mempunyai mempunyai kaitan dengan kes tersebut. Hasil siasatan yang dibuat, kita telah menahan tiga individu lagi termasuk seorang lelaki berusia 35 tahun yang mempunyai banyak rekod lampau jenayah,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Johor di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor hari ini.
Minggu lalu beberapa pelajar sekolah menengah mengalami kecederaan parah setelah terlibat dalam pergaduhan di hadapan sebuah sekolah menengah di Kempas dipercayai berpunca tidak puas hati kerana dibaling pemadam pensel.
Dalam kejadian 3.43 petang itu, pergaduhan yang tercetus itu menyebabkan beberapa pelajar sekolah terbabit mengalami kecederaan seperti luka di kepala serta lebam di bahagian kaki dan tangan.
Susulan kes tersebut, sekumpulan lelaki telah bertindak balas menyerang seorang lelaki dalam kejadian yang berlaku di Tampoi dan mangsa yang mengalami kecederaan parah sedang masih menerima rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA).
Kamarul Zaman memberitahu, orang ramai serta masyarakat setempat diingatkan supaya tidak mengapi-apikan lagi kejadian dengan penyebaran mesej bertujuan meniup api kemarahan dengan mengaitkan isu perkauman.
“Saya telah menerima banyak pesanan atau mesej yang cuba memanaskan keadaan.Tetapi situasi di Kempas dan Tampoi sebenarnya tenang sahaja.
“Kami pihak polis memberi jaminan kepada mastarakat bahawa kami tidak akan bekrompromi dalam hal ini dan pesalah aian dikenakan tindakan,” katanya.- MalaysiaGazette