Setiausaha Agung Perikatan Nasional, Datuk Seri Hamzah Zainudin berucap pada perasmian pembukaan silat terbuka pendekar seabad UKM di Evolve Concept Mall, Ara Damansara. Foto MOHD ADZLAN, 31 MEI 2023.

PETALING JAYA – Isu pelawaan kepada Pas menyertai Kerajaan Perpaduan pernah dibawa ke meja rundingan Perikatan Nasional (PN), kata Datuk Seri Hamzah Zainudin.

Namun Setiausaha PN berkata. perkara itu hanyalah pemberitahuan daripada pihak Pas dan tidak diputuskan dalam mesyuarat berkenaan.

“(Pelawaan untuk Pas menyertai kerajaan) pernah diberitahu Tok Guru (Tan Sri Abdul Hadi Awang) malah menceritakan perkara ini dan kita (pemimpin PN) senyum sahaja.

“Sebab keputusan yang kita buat adalah untuk mempertahankan ideologi dan apa yang selama ini kita bawa,” katanya selepas merasmikan Kejuaraan Silat Terbuka Pendekar Seabad Universiti Malaya (UM) kali ke 14 hari ini.

Ketua Pembangkang itu berkata demikian mengulas kenyataan Presiden Pas bahawa dihubungi “orang tertentu” yang menawarkan kerjasama dalam Kerajaan Perpaduan.

“Dia (Abdul Hadi) bawa cerita itu tapi tidaklah sehingga menjadi satu usul,” katanya menjawab sama ada kepimpinan PN terus menolak perkara yang dibawa oleh Abdul Hadi pada mesyuarat berkenaan.

Hamzah bagaimanapun tidak memperincikan bila pemberitahuan Abdul Hadi dibawa ke meja rundingan PN.

Ditanya sama ada Pas akan meninggalkan gabungan itu, Hamzah berkata, pihaknya percaya rakan politiknya itu akan terus berpegang kepada prinsip perjuangan sehingga tertubuhnya PN.

“Mereka (Pas) sentiasa bersama dengan kita sebab PN itu bukan hanya Pas tapi juga Bersatu dan juga banyak parti lain. Kita tidak mahu menjadi satu kumpulan yang tidak faham dari segi apa yang telah dipersetujui daripada asal.

“Kalau kita berkempen macam itu, begitu jugalah kita bawa supaya rakyat faham bahawa kita adalah satu kumpulan yang sentiasa pegang kepada prinsip perjuangan,” katanya lagi.

Semalam, Ahli Parlimen Jerantut, Khairil Nizam Khirudin mendedahkan,  veteran DAP. Lim Kit Siang yang mengajak Pas untuk menyertai kerajaan perpaduan.

Menurutnya, tindakan Kit Siang itu kerana kedudukan kerajaan amat genting sekarang apatah lagi berlaku penolakan orang Melayu terhadap UMNO. – MalaysiaGazette