Itik panggang menjadi menu wajid di Daigor Hong Kong Muslim Restaurant.

KUALA LUMPUR – Bagi yang pernah berkunjung ke Hong Kong, pasti akan terbayang masakan Kantonis sedap serta pilihan tempat makan halal yang pelbagai.

Sudah tentu tidak dilupakan adalah itik panggang yang menjadi antara menu wajib dan masuk senarai pilihan.

Justeru bagi yang merindu menu negara itu, Daigor Hong Kong Muslim Restaurant (Daigor) yang kini dibuka di Sungei Wang, Bukit Bintang mampu mengubati kerinduan untuk menikmatinya semula di ibu kota.

Malah lebih menarik, menu itik panggangnya amat istimewa kerana telah melalui penyelidikan dan pembangunan selama hampir tujuh bulan untuk mendapatkan cita rasa yang paling hampir dengan apa yang dijual di Hong Kong.

Pengasas Daigor, Andy Goh berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengann kualiti ramuan dan cara penyediaan makanan dalam menawarkan menu terbaik buat pengunjung.

Malah tegas beliau, semua menu perlu mengikut standard halal yang ditetapkan dan ia menjadi keutamaan penting pihak restoran.

“Kami amat mementingkan ramuan yang digunakan yang mendapat pengiktirafan sijil Halal agar tiada menimbul perasan was-was kepada pengunjung Muslim.

“Selain itu, Daigor juga mempunyai pusat dapur yang akan memastikan semua makanan yang disediakan halal dan memenuhi standard piawai halal yang ditetapkan,” katanya sambil menambah Daigor merupakan syarikat berstatus pemilikan Bumiputera.

Ketika ini, Daigor muncul satu-satunya jenama restoran halal Hong Kong yang bertapak di Malaysia.

Selain itik panggang, antara menu lain adalah Cheese Baked Rice dan pelbagai jenis daging, makanan laut, charcoal custard lava bun dan juga air kopi premium turut ditawarkan di Daigor.

Pelbagai menu Hong Kong disediakan.

Andy memberitahu, pengalamannya menjelajah pelbagai negara sebagai bekas pramugara sebelum ini memberi dia peluang merasai pelbagai jenis makanan.

“Saya terfikir di Malaysia tiada lagi restoran stail Hong Kong yang halal berbanding restoran muslim China yang semakin banyak dan timbul idea membuka Daigor.

“Jadi visi kami untuk menyediakan pengalaman makan yang unik kepada pelanggan, meninggalkan kenangan yang terindah apabila berpuas hati, terinspirasi dan tidak sabar untuk kembali lagi menikmati menu yang lazat.

“Daigor juga mahu menjadi penyedia terkemuka masakan Cina Muslim yang unik dan berkualiti tinggi sambil mempromosikan perpaduan di kalangan semua pelanggan.

“Kami juga berhasrat untuk mewujudkan persekitaran yang mesra untuk semua pelanggan, memupuk semangat kemasyarakatan dan menyatukan orang ramai melalui kuasa menikmati makanan.

Sementara itu, Daigor merupakan rangkaian perniagaan makanan dan minuman (F&B baharu) di bawah jenama K-Town Alpha iaitu syarikat subsidiari Alphacapital yang memiliki variasi cabang perniagaan.

Ketua Pegawai Eksekutif AlphaCapital, Syed Mahadzir Fadaak berkata, perancangan untuk membina jenama ‘Daigor’ sudah bermula sejak tahun lalu.

Beliau berkata, pelancaran Daigor adalah antara usaha untuk memperluas dan mengembangkan lagi rangkaian perniagaan bidang makanan AlphaCapital. – MalaysiaGazette

Daigor Hong Kong Muslim Restaurant kini dibuka di Sungei Wang, Bukit Bintang.