Yang di-Pertua Dewan (YDP) Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kiri) dalam Program Ziarah Kasih ke atas ADUN Tahan, Datuk Rahimah Mohammad Kawi, 86 di Kuantan Care And Wellness Centre (KPJ), di Teluk Sisek di sini hari ini.

KUANTAN – Kadar kelayakan pencen bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang akan dikaji semula bersesuaian dengan peningkatan kos sara hidup dan keperluan semasa.

Menurut Yang di-Pertua Dewan (YDP) Negeri, Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin, perkara itu akan dibawa kepada Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail.

“Sememangnya antara perkara yang kita akan kaji balik iaitu isu pencen kerana pencen kakitangan kerajaan naikntapi, bagi bekas wakil rakyat ada yang naik ada yang tak naik.

“Jadi kita akan kaji semula penyelarasannya. Sebab mesti ada kesesuaian dengan keadaan semasa, di mana kita lihat harga barang naik, sewa naik, semua naik,” ujarnya.

Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih ke atas bekas ADUN Tahan, Datuk Rahimah Mohammad Kawi di Kuantan Care And Wellness Centre (KPJ), di Teluk Sisek hari ini.

Jelas mohd Sharkar, perkara tersebut akan dimaklumkan kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan DUN Pahang untuk dibahaskan dan seterusnya akan dimaklumkan kepada kerajaan negeri.

Sementara itu, mengulas lanjut mengenai Program Ziarah Kasih hari ini, katanya, program itu akan diteruskan sebagai tanda ingatan dan penghargaan kepada bekas wakil rakyat di seluruh negeri ini.

Bekas ADUN Bera, Datuk Jaafar Salleh (kiri) dan Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin (kanan) di Kempadang, di sini hari ini.

“Kita kena ingat suatu ketika dahulu, mereka adalah orang yang memberikan sumbangan kepada negeri. Merekalah yang membawa Rang Undang-Undang (RUU) dan Enakmen ke Dewan (DUN) dan merekalah yang membahas dan menyokongnya sehingga kita berada dalam keadaan sejahtera begini di Pahang,” kata Mohd Sharkar lagi.

Beliau sebelum itu turut menziarahi bekas ADUN Bera, Datuk Jaafar Salleh, 93, yang telah berkhidmat pada tahun 1978 sehinga 1982 di kediamannya di Kampung Kempadang.- MalaysiaGazette