Gambar hiasan

RIYADH — Aktiviti merokok akan mengurangkan purata jangka hayat rakyat Arab Saudi sebanyak 1.6 tahun, kata Menteri Kesihatan Fahad Al-Jalajel.

Katanya, perkara itu bertentangan dengan Wawasan 2030 negara berkenaan yang mahukan purata jangka hayat rakyatnya yang lebih tinggi berbanding sekarang.

“Kesihatan kita perlu dijaga sedangkan merokok boleh membahayakan kesihatan,” katanya.

Beliau turut berkongsi beberapa langkah yang boleh membantu perokok berhenti daripada amalan buruk itu.

Menurut Fahad, apa yang paling penting dalam usaha untuk berhenti merokok adalah mengelakkan tempat-tempat yang boleh merangsang keinginan untuk merokok dan dalam masa sama menyemak semula gaya pemakanan.

Perokok juga katanya boleh menggunakan pengganti nikotin serta meningkatkan komunikasi sosial dengan melakukan aktiviti fizikal.

Selain itu, beliau turut menggalakan perokok untuk membuat temujanji di 937 klinik anti-merokok di seluruh negara atau membuat permohonan di Sehhaty.

Minggu lepas, Dana Pelaburan Awam (PIF) melancarkan sebuah syarikat baharu bagi mengurangkan jumlah perokok di Arab Saudi.

Syarikat yang diberi nama Badeel itu menawarkan penghantaran produk tembakau bebas nikotin ke seluruh Arab Saudi menjelang akhir 2023.

Ia juga mensasarkan peluasan pasaran di peringkat serantau dan antarabangsa.

Produk syarikat itu dijangka mampu membantu hampir satu juta orang atau kira-kira 25 peratus perokok di Arab Saudi untuk berhenti merokok.-Agensi