Presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA), Datuk Dr. Ibrahim Ali bercakap kepada media ketika di bilik gerakan di DUN Paya Rumput, Melaka. Foto MOHD ADZLAN, 07 NOVEMBER 2021.
Dr. Ibrahim Ali

KUALA LUMPUR – Parti Putra mencabar kerajaan perpaduan menubuhkan segera Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat secara terperinci isu penyelewengan projek kapal tempur pesisir LCS.

Presidennya, Datuk Paduka Dr. Ibrahim Ali berkata, penubuhan RCI itu penting sekiranya kerajaan pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim benar-benar serius dan telus mahu membasmi rasuah.

“Jika benar-benar telus dan bukan hanya retorik, Putra cabar kerajaan Malaysia Madani tubuh segera RCI bagi menyiasat penyelewengan projek ini.

“Laporan siasatan itu mesti dibentangkan di Parlimen dan kepada umum, manakala sidang RCI hendaklah dibuat secara terbuka bagi membolehkan rakyat mengikuti setiap perinciannya,” katanya dalam kenyataan di sini, semalam.

Menurut Ibrahim, jika kerajaan cuba mengelak dan berdalih dengan pelbagai alasan, pastilah ada pihak yang cuba melindungi mereka yang terlibat dan ada kaitan dengan penyelewengan projek itu.

Pada masa sama, beliau juga menyeru rakyat terutama NGO bangkit dan mendesak kerajaan Madani menubuhkan segera RCI dengan melantik anggota berwibawa serta berintegriti secepat mungkin bagi menyiasat projek kapal tempur itu.

“Isu kapal LCS sudah menjadi bangkai berkulat, sedangkan ahli Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) membuat kiraan dan mendakwa kerajaan mengalami kerugian kira-kira RM3.7 bilion. Ia menyamai isu IMDB.

“Putra dimaklumkan, hampir RM6 bilion sudah dibayar sebelum ini, tetapi satu kapal pun tidak siap. Ini amat mengejutkan kerana sebelum PRU15, pimpinan Pakatan Harapan (PH) dan sekutunya menyerang isu itu bagai peluru roket berpandu terhadap kerajaan.

“Selepas PRU15 dan setelah PH bersama Barisan Nasional menubuhkan kerajaan, peluru roket berpandu sudah menjadi meriam buluh yang tidak berbunyi lagi,” ujar beliau.

Kata Ibrahim, Panglima TUDM, Laksamana Tan Sri Dr. Abdul Aziz Jaafar ketika itu memberi nasihat, malah menulis nota rasmi membantah anugerah projek kapal LCS yang dibuat tidak mengikut prosedur dan keperluan tentera laut.

Namun, tegas beliau, nasihat itu tidak diambil kira, malah ditong sampahkan.

“Malah, kerajaan Madani membuat keputusan menambah peruntukan menjadikan kos satu kapal LCS berjumlah RM2.24 bilion dari RM1.5 bilion, sedangkan negara lain membina projek berkenaan dengan kos jauh lebih rendah,” katanya. – MalaysiaGazette