Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan (tengah) dalam sidang media di di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan (dua dari kiri)

KUANTAN –  Cubaan sindiket penyeludupan rokok putih dengan nilai keseluruhan RM1.57 juta dipatahkan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) Pahang dalam serbuan pada minggu lalu.

Hasil maklumat awam, sebuah lori lima tan ditahan bersama sejumlah 2.1 juta batang rokok di perkarangan stesen minyak di Felda Neram 1, Kemaman, Terengganu kira-kira pukul 1.30 petang 23 Mei lalu.

Ketua Pengarah JKDM, Datuk Zazuli Johan berkata, pihaknya turut menahan pemandu lori itu yang merupakan seorang lelaki warganegara berusia 36 tahun ketika mahu mengisi minyak di situ.

Datuk Zazuli Johan

“Motolori yang ditahan dipercayai dalam perjalanan dari Pantai Timur ke Pantai Barat. Hasil pemeriksaan fizikal di tempat kejadian telah dijalankan dan mendapati barang yang disyaki merupakan rokok larangan import.

“Nilai rampasan termasuk kenderaan dianggarkan sebanyak RM223,000 manakala jumlah duti atau cukai yang terlibat dianggarkan RM1.63 juta dan kesemua barangan rampasan telah dibawa ke Bahagian Penguatkuasaan Kuantan untuk siasatan lanjut,” katanya pada sidang media di Wisma Kastam Sultan Ahmad Shah, di sini, hari ini yang turut dihadiri Pengarah JKDM Pahang, Wan Apandi Wan Hassan.

Mengulas lanjut, Zazuli berkata, sindiket itu menggunakan lori kanvas dan bergerak aktif pada waktu kemuncak bagi mengaburi mata pihak berkuasa.

“Akhir-akhir ini, pihak kita mengenalpasti aktiviti penyeludupan kini beralih dari Pantai Barat ke Pantai Timur dan dilihat semakin aktif, ada yang menggunakan laluan laut,” ujarnya.

Datuk Zazuli Johan (kanan) menunjukkan rampasan rokok putih oleh JKDM Pahang

Tambahnya, bermula bulan Januari sehingga Mei tahun ini, JKDM Pahang berjaya menggagalkan 80 kes penyeludupan membabitkan aktiviti penyeludupan rokok (67), minuman bergas (4), kenderaan (5) dan mercun (4).

“Kes ini sedang disiasat di bawah Akta Kastam 1967 dan jika disabitkan kesalahan, mahkamah boleh mengenakan hukuman denda tidak kurang daripada sepuluh kali ganda nilai barang atau RM 100,000 (yang mana lebih tinggi); sehingga tidak lebih daripada dua puluh kali ganda nilai barang atau RM 500,000 (yang mana lebih tinggi); atau penjara tidak kurang enam bulan dan tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya sekali.

“Sehubungan itu, orang ramai digesa membantu pihak JKDM memerangi jenayah penyeludupan khususnya rokok, minuman keras, mercun, dadah, kenderaan dan lain-lain serta dinasihatkan tidak membabitkan diri dengan aktiviti tersebut.

“Penyeludupan bukan sahaja merugikan negara dari segi kehilangan hasil, malah hanya turut mendatangkan ancaman kepada keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat,” katanya.

Sebarang maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan boleh disalurkan dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau Pejabat Kastam yang terdekat di semua negeri. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast