SUNGAI BESAR – Seorang lelaki yang dipercayai membunuh dan membakar kekasihnya yang hamil empat bulan di Jalan Sungai Limau, di sini, akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar, pagi ini.
MalaysiaGazette dimaklumkan kes tertuduh yang baru tamat pengajian di sebuah institusi pengajian tinggi (IPT) akan didakwa oleh seorang Majistret yang didatangkan khas dari Putrajaya.
Terdahulu tertuduh yang berusia 20 tahun yang memakai baju t-shirt berwarna kuning diiringi anggota polis tiba di Mahkamah Majistret Sungai Besar, kira-kira jam 8.55 pagi tadi.
Semalam, Ketua Polis Daerah Sabak Bernam, Superintendan Agus Salim Mohd Alias mengesahkan tertuduh akan didakwa di Mahkamah Majistret Sungai Besar, pagi ini.
Sebelum ini, media melaporkan mayat mangsa berusia 21 tahun yang hamil empat bulan ditemui dalam keadaan perut dikelar dan badan terbakar di dalam kawasan belukar kebun kelapa sawit, 23 Mei lalu.
Tertuduh dipercayai melakukan jenayah itu secara bersendirian.
Lelaki itu melakukan pembunuhan tersebut dipercayai bagi merahsiakan kehamilan selepas melakukan hubungan sulit dengan mangsa.
Mangsa yang bekerja sebagai pelayan sebuah restoran adalah pasangan kekasih dan menjalin hubungan selama setahun.
Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan. – MalaysiaGazette