Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Bunyi motosikal yang bising daripada sekumpulan individu menjadi punca berlaku pergaduhan  membabitkan dua kumpulan suspek lelaki bertopi keledar di Bukit Ampang baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, insiden rusuhan itu berlaku pada 29 Mei lalu.

Katanya, dalam kejadian 10 malam itu, polis menerima aduan berkaitan pergaduhan melibatkan 13 orang lelaki tempatan.

“Hasil siasatan mendapati punca rusuhan adalah tidak puas hati dengan satu kumpulan yang membuat bunyi bising motosikal.

“Satu kumpulan suspek lain telah menegur dan telah berlaku pertengkaran dan pergaduhan antara dua kumpulan berkenaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambah Mohamad Farouk, akibat kejadian itu, tiga suspek lelaki telah mengalami kecederaan ringan dan telah mendapat rawatan di Hospital Ampang.

Katanya sehubungan itu, pada 30 Mei lalu, bermula jam lebih kurang 12 tengahari hingga 5.15 petang sepasukan polis berjaya menangkap 13 lelaki warga tempatan disyaki terlibat dalam rusuhan itu di pekarangan Ibupejabat Polis Daerah Ampang Jaya.

“Kesemua suspek yang ditahan itu adalah berumur antara 15 hingga 26 tahun manakala salah seorang tangkapan merupakan pelajar sekolah menengah yang terletak di Ampang.

“Manakala tangkapan lain bekerja dalam penghantar makanan, pembantu jualan dan penganggur.

“Kesemua suspek dilibatkan dalam ujian saringan air kencing sebelum disahkan negatif dadah manakala semakan lanjut mendapati tiga suspek berumur 20,21 dan 26 tahun mempunyai rekod kesalahan lampau dadah dan jenayah,” ujarnya.

Tegas Mohamad Farouk, kesemua suspek kini ditahan reman selama empat hari sehingga 3 Jun ini untuk membantu siasatan lanjut polis.

Kes berkenaan sedang disiasat di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan boleh dikenakan hukuman penjara selama tempoh yang boleh sampai lima tahun atau dengan denda atau dengan kedua-duanya.- MalaysiaGazette