Kenderaan exora milik seornag lelaki tempatan yang disita JPJ selepas dikesan menawarkan khidmat kereta sewa haram kepada pelancong di klia2 Khamis lalu

KUALA LUMPUR – Seorang lelaki yang menawarkan perkhidmatan kereta sewa tidak berlesen kepada pelancong asing di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) ditahan anggota penguatkuasa Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) pada Khamis lalu.

Pengarah JPJ Selangor, Datuk Khairul Khar Yahya berkata, siasatan awal mendapati lelaki berusia 30-an itu telah memujuk, merayu dan menawarkan khidmat kereta sewa haram kepada dua pelancong warga Perancis yang hendak ke ibu negara.

“Siasatan lanjut mendapati taktik suspek terlebih dahulu tidak menentukan kadar tambang kepada kedua-dua pelancong itu dari Terminal KLIA2 ke Kuala Lumpur, sebaliknya pelancong berkenaan hanya perlu membayar tambang yang akan dimaklumkan kelak oleh suspek apabila sampai di destinasi mereka.

“Susulan itu, JPJ telah menahan pemandu terbabit untuk membantu siasatan dan tindakan lanjut manakala kenderaannya yang digunakannya turut disita mengikut undang-undang yang ditetapkan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Menurut Khairul, individu yang melakukan kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 205(1) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010 yang memperuntukkan hukuman denda tidak melebihi RM50,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya jika disabitkan kesalahan.

Tambah beliau, mereka yang bersubahat melakukan aktiviti ‘ulat’ boleh didakwa di bawah Seksyen 243(1) akta yang sama.

“Saya ingin menasihati orang awam agar menggunakan perkhidmatan pengangkutan yang sah di sisi undang-undang sama ada melalui kaunter perkhidmatan yang disediakan di KLIA atau KLIA2 atau pun membuat tempahan melalui aplikasi e-hailing,” ujarnya.

Orang ramai boleh mengemukakan laporan mengenai pergerakan perkhimatan kereta sewan haram melalui e-mel, [email protected] atau platform aplikasi e-aduan@JPJ. – MalaysiaGazette