Antara dadah serta barang disita daripada tiga pengedar dadah termasuk pasangan suami isteri di Sitiawan dan Kampar, Perak semalam.

IPOH – Tiga individu termasuk suami isteri ditahan selepas disyaki terlibat dalam pengedaran dadah dalam dua serbuan, semalam.

Serbuan pertama pada jam 12.05 tengah malam membawa kepada tangkapan penarik kereta berusia 28 tahun dan isterinya, 29 tahun di rumah mereka di Sitiawan.

Ketua Polis Perak, Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, hasil pemeriksaan pihaknya menemui dadah jenis heroin seberat lebih tujuh kilogram (kg) dan ganja 3.058 kg dengan nilai keseluruhan RM64,570.

Mohd Yusri Hassan Basri.

Katanya, hasil siasatan mendapati pasangan berkenaan aktif dalam pengedaran dadah sejak awal tahun.

“Turut dirampas dalam serbuan berbabit, peralatan untuk membungkus dadah.

“Selain itu, pihak polis juga menyita sebuah kenderaan, tujuh utas rantai emas, enam cincin, empat pasang anting-anting dan sebentuk subang hidung yang bernilai RM 72,332.60.

“Ujian saringan air kencing mendapati masing-masing negatif dadah dan tidak mempunyai rekod lampau,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, dalam serbuan kedua, Mohd Yusri berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) menahan seorang lelaki di Desa Lawan Kuda, Kampar.

“Serbuan jam 12.30 tengah malam di rumah berkenaan menjumpai serbuk ekstasi seberat 2.7 kg, kafen (1.67 kg), methamphetamine (22 gram (g), heroin (21 g), 15 biji pil erimin 5 dan 11 biji pil ekstasi berjumlah RM38,792.

“Pemeriksaan juga mendapati suspek positif dadah dan mempunyai rekod kesalahan lampau membabitkan 18 rekod lampau membabitkan dadah serta jenayah,” katanya.

Tambah Mohd Yusri, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kesemua suspek direman selama tujuh hari sehingga 10 Jun ini. – MalaysiaGazette