Anthony Loke Siew Fook.

KUALA LUMPUR – DAP menyifatkan pengurniaan gelaran Tan Sri kepada bekas pngerusinya sebagai satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada parti itu.

Setiausaha Agungnya,, Anthony Loke Siew Fook berkata, parti itu merafak sembah terima kasih kepada Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas kurniaan darjah kebesaran itu.

“Anugerah tersebut merupakan satu pengiktirafan yang sangat bermakna kepada parti DAP dan juga satu penghormatan kepada sumbangan Tan Sri Lim Kit Siang dalam sistem demokrasi negara selama 57 tahun.

“Tan Sri Lim Kit Siang pernah dipilih sebagai Ahli Dewan Rakyat selama 11 penggal mewakili pelbagai kawasan Parlimen di 5 buah negeri dari tahun 1969 sehingga 2018,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Hari ini, Kit Siang menerima darjah kebesaran Panglima Setia Mahkota (PSM) yang membawa gelaran ‘Tan Sri’ daripada Istana Negara sempena sempena Hari Keputeraan rasmi Yang di-Pertuan Agong.

Kit Siang antara 839 individu menerima darjah kebesaran, bintang dan pingat Persekutuan 2023 sempena Ulang Tahun Hari Keputeraan Rasmi Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara, hari ini.

Mengulas lanjut, Anthony Loke berkata, veteran DAP itu telah banyak menyumbang kepada parti biarpun beliau tidak menjawat apa-apa jawatan di peringkat persekutuan.

“Sumbangan dan peranan beliau sebagai Ketua Pembangkang Parlimen Malaysia selama 29 tahun amat penting dalam menyuburkan sistem demokrasi kita. Sekali lagi, patik menjunjung kasih Tuanku! Daulat Tuanku!,” kata Menteri Pengangkutan itu lagi. – MalaysiaGazette