(Dari kiri) Lau Liyi, Ng Chi Yan, Soh Hui man dan Dr. Tan Soo Fun bersama Timbalan Presiden Komunikasi Korporat Huawei, Vicky Zhang.

KOTA KINABALU- Universiti Malaysia Sabah (UMS) muncul naib johan dalam Huawei ICT Competition Global Final 2022-2023 yang berlangsung di Shenzhen Bantian
Huawei Base, China, baru-baru ini.

UMS diwakili oleh tiga pelajar Fakulti Komputeran dan Informatik (FKI) iaitu Lau Liyi, Ng Chi Yan dan Soh Hiu Man dan dipimpin oleh pensyarah kanan FKI, Dr. Tan Soo
Fun.

Selain muncul naib johan, UMS turut menerima anugerah khas ‘Women in Tech’.

Menurut Tan, pengiktirafan ‘Women in Tech’ itu diberikan bertujuan memberi inspirasi kepada peserta wanita untuk terlibat secara aktif dalam inovasi teknologi,
menggalakkan pertumbuhan industri ICT serta mempromosikan keterangkuman sosial.

Selain itu katanya pengiktirafan itu bagi menyumbang kepada pencapaian Matlamat Pembangunan Mampan (SDG), serta mewujudkan masyarakat yang lebih pelbagai
serta inklusif.

“Pertandingan yang berakhir pada 27 Mei yang lalu telah menyaksikan penyertaan seramai 120,000 pelajar dari lebih 2,000 universiti dan kolej yang merangkumi 74
negara dan rantau.

“Pencapaian Pasukan UMS dalam pertandingan ini diharap akan memberi inspirasi kepada semua pelajar di samping memberi penekanan pentingnya mempromosi
kepelbagaian gender dalam bidang teknologi.

“Dengan dedikasi para peserta, pasukan UMS tidak hanya telah membawa pengiktirafan kepada diri mereka sendiri tetapi juga telah memacu reputasi universiti
dan negara di arena global ICT,” katanya. – MalaysiaGazette