Alireza Enayati

RIYADH – Kementerian Luar Iran mengumumkan akan membuka semula misi diplomatik di Arab Saudi dalam dua hari akan datang.

Jurucakap kementerian itu, Nasser Kanaani, dalam satu kenyataan berkata, Kedutaan Iran di Riyadh dan Pejabat Konsulat danPerwakilan kepada Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) di Jeddah akan dibuka semula secara rasmi pada Selasa dan Rabu.

Keputusan itu adalah sebahagian daripada proses untuk menyelesaikan pelaksanaan perjanjian, yang dicapai antara Arab Saudi dan Iran untuk menyambung semula hubungan dua hala, menurut satu kenyataan yang diterbitkan di laman web kementerian.

Iran telah melantik Alireza Enayati, seorang diplomat veteran, sebagai dutanya ke Arab Saudi.

Sementara itu, sumber diplomatik di Riyadh berkata, pembukaan semula kedutaan Iran akan berlangsung pada hari Selasa jam 6 petang dengan kehadiran Duta Besar Enayati yang baharu.

“Untuk melaksanakan perjanjian itu…Kedutaan Iran di Riyadh, Konsulat Jeneral kami di Jeddah dan pejabat wakil tetap kami kepada Pertubuhan Kerjasama Islam akan dibuka semula secara rasmi pada Selasa dan Rabu,” kata Kanaani sebelum ini.

Kanaani menambah, Kedutaan di Riyadh dan Konsulat Jeneral Iran di Jeddah sudah mula beroperasi untuk membantu jemaah haji Iran yang dijangka bermula pada akhir Jun.

Pengumuman itu dibuat selepas Tehran menamakan Alireza Enayati sebagai dutanya ke Arab Saudi bulan lalu.

Di bawah perjanjian diuruskan oleh China yang dicapai pada Mac lalu, Arab Saudi dan Iran bersetuju untuk mewujudkan semula hubungan, yang terputus pada 2016 berikutan serangan ke atas Kedutaan Arab Saudi di Tehran dan konsulat di Mashhad. – Agensi