Temubual SkopMG bersama Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi di Ibu Pejabat Malaysia Gazette, Sungai Besi, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 05 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kerjasama baik antara kerajaan negeri dan Persekutuan boleh menjadi pemangkin untuk merealisasikan hasrat menjadikan Johor sebuah negeri maju menjelang 2030.

Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi berkata, hubungan baik tersebut membolehkan pelbagai isu yang dianggap mustahil diselesaikan boleh dicari jalan penyelesaiannya.

Beliau tidak bimbang untuk mengutarakan masalah-masalah di negeri Johor yang memerlukan kerjasama Persekutuan.

“Saya tidak risau kerana sentiasa berhubung dengan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) sendiri. Saya selalu berhubung dengan kementerian dengan Ketua Setiausaha Kementerian tiap-tiap hari.

“Bukan dengan niat untuk mengaibkan sesiapa. Akhirnya niat kita untuk membantu jadi pemudahcara, menghantar laporan kepada kementerian supaya mereka juga boleh mengambil tindakan menyelesaikan isu itu.

“Untuk berlaku adil, Kerajaan Persekutuan kena jaga satu Malaysia bukan jaga Johor sahaja, saya yang memimpin Johor ini dapat membantu memudahcarakan apa sahaja isu supaya mereka dapat ambil tindakan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Skop terbitan MalaysiaGazette dan dikongsi di semua platform media semalam.

Menurut Onn Hafiz, hubungan akrab tersebut membolehkan beberapa isu yang memerlukan penyelesaian segera berjaya dilakukan.

Ini antaranya kekurangan kakitangan imigresen di Kompleks Imigresen, Kastam dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB).

“Alhamdulillah berkat sokongan Perdana Menteri, Menteri Dalam Negeri, KSU dan Jabatan Imigresen mereka telah setuju tambah 100 staf minggu lepas.

“Tidak cukup dengan itu, pada September ini, nak tambah lagi 290 orang. Ini akan membantu kurangkan pekerja di BSI dan KSAB,” jelas beliau.

Kerajaan Pusat turut prihatin dengan isu kekurangan jururawat dan doktor di Hospital Sultanah Aminah (HSA).

“Saya pergi ke HSA kekurangan doktor 200 orang, HSI ada dua wad iaitu 9A dan 10A tak dapat dibuka kerana tak cukup staf, tak cukup katil.

“Di ruang kecemasan macam ‘perang dunia’. Bila kita buka wad insya-Allah akan ada kelegaan daripada pesakit bergelimpangan.

“Syukur dengan kerjasama Kerajaan Persekutuan mereka bersetuju tambah doktor dan jururawat untuk kita buka wad ini. Niat kita bukan hendak mengaibkan siapa-siapa. Niat kita adalah untuk membantu rakyat,” tegas Onn Hafiz.

Selain itu, Kerajaan Persekutuan turut prihatin dengan isu jalan rosak di negeri itu apabila meluluskan segera peruntukan bernilai RM60 juta.

“Untuk jalan berlubang dan rosak, baru-baru ini kita minta RM23 juta yang diluluskan RM60 juta. Tiga kali ganda.

“Hubungan baik itu saya tengok membantu. Pada masa sama perkara ini bukan saya seorang yang cakap, Istana Johor selalu menyuarakan pandangan, bertitah dan disampaikan kepada Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Menurut Onn Hafiz, sebagai pemimpin memerlukan seseorang bukan sahaja melihat melalui mata tetapi juga dengan hati bagi merasai penderitaan rakyat.

Justeru beliau akan mengambil sikap untuk selalu turut padang mendalami isu dan permasalahan rakyat seperti yang dilakukan beliau terhadap CIQ dan HSA.

Selain CIQ, hospital dan masalah jalan dua lagi isu yang ingin ditangani adalah banjir dan pencemaran.- MalaysiaGazette