Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub bercakap pada sidang media pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 06 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) akan meneruskan Ops Manis 2.0 di seluruh negara sehingga 30 Jun ini.

Menterinya, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, operasi sama di empat negeri sebelum ini tamat pada 4 Jun lalu akan dilanjutkan bagi memastikan bekalan dan pengedaran gula stabil bagi kegunaan rakyat.

“KPDN telah memutuskan mana-mana pihak yang melakukan tiga kesalahan berikut akan digantung lesen untuk siasatan dan jika terbukti kesalahan akan dibatalkan lesen dan disenaraihitamkan.

“Antara tiga kesalahan itu ialah menjual gula putih bertapis kasar dan halus secara bersyarat dengan barangan lain serta termasuklah dengan gula jernih.

“Menyorok bekalan dan menjual melebihi harga kawalan adalah satu kesalahan,” katanya pada sidang media di Parlimen hari ini.

Sebelum ini, KPDN melancarkan Ops Manis melibatkan empat negeri iaitu Kelantan, Terengganu, Pahang dan Kedah dari 3 Mei sehingga 4 Jun lalu.

Beliau juga berkata, semua pihak terlibat dalam setiap rantaian pembekalan perlu mematuhi peruntukan undang-undang berkaitan penjualan gula.

“Tiada mana-mana pihak boleh menyorok, enggan menjual atau mengenakan penjualan bersyarat serta menjalankan urusniaga gula tanpa lesen.

“Orang ramai turut disarankan agar menjadi mata dan telinga kepada pihak Kementerian dengan menyalurkan aduan dan maklumat melalui salah satu saluran aduan rasmi KPDN,” katanya.

Menurut beliau, sehingga 4 Jun lalu, sebanyak 2,576 premis perniagaan telah diperiksa oleh anggota penguat kuasa dan sejumlah 60 aduan merangkumi isu gula telah diterima.

“Dari jumlah pemeriksaan itu, terdapat tujuh tindakan kes telah diambil. Bekalan gula di pasaran pula tidak menunjukkan sebarang masalah bekalan yang kritikal, mencukupi, stabil dan berupaya menampung permintaan semasa,” katanya lagi. – MalaysiaGazette