KUALA LUMPUR – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang), Datuk Seri Azalina Othman mempersoalkan tindakan kesemua ahli Parlimen pembangkang yang bertindak keluar dari Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau tidak menolak kemungkinan tindakan itu susulan keengganan mereka untuk membahaskan Laporan Ketua Audit Negara bagi tahun 2021, hari ini.

“Takkan itu pun tak boleh, tuan Speaker sampai semua seorang pun tadi saya nampak lepas itu kena keluar.

“Saya betul-betul terkilan tapi tak apa nak buat macam mana sebab mereka takut.

“Saya tak tahu (mereka) nak takut apa sebab Laporan Audit ini 2021, yang berlaku pada 2020, itu pun kalau kita ada sidang Parlimen,” katanya ketika membahaskan usul itu pada sidang Dewan Rakyat, di sini, hari ini.

Terdahulu Ahli Parlimen Kota Bharu, Datuk Seri Takiyuddin Hassan mendakwa usul kerajaan untuk membentang dan membahasakan laporan Ketua Audit Negara 2021 di Dewan Rakyat bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan.

Takiyuddin berkata, tiada peraturan Dewan Rakyat yang membolehkan usul itu dibentang dan dibahas tanpa mengemukakan Rang Undang-Undang (RUU).

Menurut Takiyuddin, laporan itu hanya boleh dibentangkan ke Dewan Rakyat, selaras dengan Perkara 107, Fasal 1 dalam Perlembagaan Persekutuan.

Azalina juga berasa hairan dengan bantahan itu sedangkan ia boleh dijadikan sebagai satu keutamaan dalam prosiding Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) akan datang.

“Apa teruk sangat ahli Parlimen cakap. Tak ada apa yang kami tegur dalam laporan Ketua Audit Negara.

“Sekurang-kurangya yang dibahaskan itu boleh diketengahkan menjadi keutamaan dalam perbincangan PAC, betul tak.

“Kita nak tegur untuk kebaikan bagi rakyat kerana ini duit rakyat, bukan duit mak bapak kita,” katanya.

Tambah beliau, usul berkenaan sepatutnya dibahaskan pada sidang Dewan Rakyat lepas dan tertangguh kerana Parlimen ditutup pelaksanan Proklamasi Darurat 2021 akibat pandemik Covid-19.

“Yang tidak adanya darurat, kita boleh kita boleh perbahasan masa tahun itu

“Kita perbahasan tahun 2023, sebab yang tutupkan rumah demokrasi ini pun mereka juga, betul tak

“Jadi Tuan Speaker saya kena bebel sikit jer sebab saya dengar ni cara dia bercakap, macamlah kita ni kerajaan yang begitu zalim.

“Kalau betul lah kita tak ikut undang-undang, takkanlah kita buat dalam rumah demokrasi,” jelasnya.

Katanya, kerajaan perlu mengikut undang-undang supaya Menteri dan Timbalan Menteri berkenaan boleh menjawab dan membuat teguran.

“Dia jawablah tak ada masalah, bukannya kita menuduh, kita nak berbincang untuk kebaikan rakyat.

“Takkan itu pun salah,” katanya lagi. – MalaysiaGazette