Tuanku Pemangku Raja Perlis, Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin merangkap Canselor UniMAP dan Tuanku Pro Canselor UniMAP, Puan Raja Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bertanya khabar seorang anak autism selepas baginda mencemar duli merasmikan program Hub Komuniti di Kampus Utama UniMAP sambil disaksikan Syaiful Rizal (dua dari kiri).

ARAU – Seramai 10 anak autisme sekitar Perlis dipilih Yayasan Bank Rakyat (YBR) untuk menerima surat tawaran perkhidmatan terapi yang masing-masing bernilai RM3,500.

Program yang dilaksanakan menerusi Hub Komuniti itu turut melibatkan kerjasama Perpustakaan Tuanku Syed Faizuddin Putra (PTSFP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Menurut Pengurus Besar YBR, Syaiful Rizal Abdul Ghani, Hub Komuniti itu memberi tumpuan kepada anak autisme dari golongan keluarga B40 sekitar negeri itu dengan menyediakan sokongan kemudahan serta terapi sebagai stimulasi untuk mereka berlatih.

Katanya, Tuanku Pemangku Raja Perlis, Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin merangkap Canselor UniMAP dan Tuanku Pro Canselor UniMAP, Puan Raja Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil telah mencemar duli merasmikan program itu di Kampus Utama UniMAP semalam.

“Seramai 10 anak autism menerima surat tawaran perkhidmatan terapi bernilai RM3,500 dan menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM35,000.

“Program ini sebagai tanda prihatin YBR dalam meningkatkan sosioekonomi masyarakat melalui pendidikan di kalangan golongan istimewa,” katanya kepada media semalam.

Tuanku Pemangku Raja Perlis, Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin merangkap Canselor UniMAP dan Tuanku Pro Canselor UniMAP, Puan Raja Muda Tuanku Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil bersama barisan pengurusan YBR dan PTSFP selepas perasmian program Hub Komuniti di Kampus Utama UniMAP.

Turut hadir, Naib Canselor UniMAP, Prof. Ts Dr. Zaliman Sauli; Consul-General of Japan in Penang, Kawaguchi Yoshiyasu; Pengarah Jabatan Pendidikan Perlis, Naharudeen Othman; Ketua Bahagian Operasi YBR, Mohd Mukhti Abd. Rahman; dan Pengurus Jabatan Komunikasi Korporat YBR, Mohamad Ghazali Zainal Abidin.

Menurut Syaiful Rizal, pihaknya amat menyokong inisiatif pendidikan kepada semua lapisan masyarakat.

Kata beliau, golongan autism antara yang mendapat perhatian YBR dalam mengembangkan potensi dan sebagai platform dalam menggilap keupayaan mereka di masa hadapan.

“Golongan ini mampu bersaing dan bersifat kompetitif sama seperti mereka yang normal jika diberikan pendedahan dan arah yang betul serta memberi kembali khidmat kepada masyarakat.

“Kita berharap dengan penganjuran inisiatif ini dapat membantu masyarakat istimewa sebagai anjakan paradigma kepada usaha untuk mempelbagai bantuan dan aktiviti kepada golongan memerlukan,” katanya. – MalaysiaGazette