Wan Rosdy Wan Ismail ketika ‘Townhall Penerangan Umno’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur

KUANTAN – Semua ahli UMNO dinasihatkan supaya bersatu dalam memperkasakan parti daripada serangan musuh dari luar atau dalam dengan menjiwai semangat ’party-man’.

Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pegangan menjadi ’orang parti’ adalah fokus utama bagi memperkuat barisan pertahanan parti sekali gus menangkis ancaman musuh.

Jelasnya, pegangan tersebut perlu dijadikan agenda parti keramat ini dalam memperjuangkan agama, bangsa dan tanah air sebagai kepentingan utama bukannya untuk diri sendiri semata-mata.

”Kita mesti menjadi party-man, yang mana  kepentingan parti melebihi kepentingan sendiri.

“Bagi memastikan UMNO terus bangkit, kekuatan jiwa ’party man’ penting dalam merapatkan kembali saf kepimpinan terutamanya menjelang enam Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas sesi ‘Townhall Penerangan UMNO’ di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur bersama ketiga-tiga Naib Presiden UMNO hari ini.

Sesi ‘townhall’ itu dikendalikan oleh Ketua Penerangan UMNO, Datuk Seri Azalina Othman Said selaku moderator sempena Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023.

Manakala dua lagi panel sepentas Naib Presiden parti bersama Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta Datuk Seri Johari Abdul Ghani. – MalaysiaGazette