Bangunan Bank Muamalat di Kuala Lumpur.

KUALA LUMPUR – Bank Muamalat Malaysia Berhad (Bank Muamalat) merekod keuntungan sebelum zakat dan cukai (PBZT) sebanyak RM306.7 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 (TK2022), naik 20.3% daripada RM254.9 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama sebelumnya.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Bank Muamalat, Khairul Kamarudin berkata, prestasi cemerlang yang dicatatkan pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022 sebahagian besarnya didorong oleh peningkatan pendapatan boleh agih dan pertumbuhan pembiayaan yang teguh dalam seiring dengan pertumbuhan perniagaan kumpulan dan kualiti aset yang lebih baik.

Menurutnya, Bank Muamalat mencatatkan pertumbuhan dalam jumlah aset sebanyak 14.4% kepada RM31.5 bilion, berbanding RM27.6 bilion tahun sebelumnya.

Prestasi ini dipacuĀ  oleh pertumbuhan 16.2% atau peningkatan RM3.3 bilion dalam jumlah pembiayaan kepada pelanggan daripada RM20.7 bilion kepada RM24.0 bilion setakat 31 Disember 2022, terutamanya daripada segmen perbankan pengguna.

Kualiti aset kumpulan kekal rendah, dengan Pembiayaan Terjejas Kasar berada pada tahap 0.85% pada 31 Disember 2022, peningkatan kecil berbanding 0.83% didaftarkan pada 31 Disember 2021.

Nisbah Ekuiti Biasa Kumpulan-1 dan Nisbah Jumlah Modal kekal stabil, masing-masing pada 12.5% dan 17.6%, jauh melebihi keperluan peraturan. – MalaysiaGazette