Che Tom tidak dapat menahan sebak apabila ditanya mengenai situasi pencarian Muhammad Hawari ketika ditemui di rumahnya di Tasek Gelugor, Pulau Pinang.

TASEK GELUGOR – “Saya reda dalam apa saja kemungkinan membabitkan Warie meskipun naluri sebagai ibu masih mengharapkan dia ditemui dalam keadaan sempurna”.

Demikian luah Che Tom Hassan, 64, ibu kepada Muhammad Hawari Hashim, peserta Malaysia Everest 2023 (ME2023) yang dilaporkan hilang sejak 19 Mei lalu.

Che Tom, 64, berkata, mereka sekeluarga bersedia dengan sebarang ketentuan berhubung anak ketiganya itu susulan operasi mencari Muhammad Hawari ditamatkan semalam atas faktor cuaca.

“Keluarga memang rasa gelisah bila tahu operasi itu ditamatkan.

“Berat nak cakap tapi mak cik faham faktor cuaca membuatkan pencarian tersebut tak dapat diteruskan.

Muhamad Yusoff (kanan) menziarahi keluarga Muhammad Hawari.

“Bagaimanapun, kami masih berharap operasi diteruskan kerana di sudut hati saya rasa Warie masih ada,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumahnya di Kampung Permatang Kerai Besar, di sini, hari ini.

Terdahulu, keluarga Muhammad Hawari menerima kunjungan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Dua, Datuk Muhamad Yusoff Mohd Noor.

Mengulas lanjut Che Tom berkata, dua ahli keluarganya akan berlepas ke Nepal esok bagi mendapatkan perkembangan serta maklumat secara langsung berhubung pencarian Muhammad Hawari.

“Mohamad Ismail (adik Muhammad Hawari) dan abang iparnya (Azhar Ilias, 33) akan berangkat esok dan dijangka mereka berada di sana sehingga 12 Jun.

Che Tom menunjukkan gambar Muhammad Hawari di Gunung Everest. – Gambar file.

“Saya mohon doa dan permudahkan urusan di kat sana termasuk mendapat khabar baik mengenai Warie,” jelasnya.

Media semalam melaporkan Operasi mencari dan menyelamat (SAR) pendaki Malaysia Everest 2023 (ME2023) iaitu orang kurang upaya (OKU) pendengaran, Muhammad Hawari Hashim, yang hilang sejak 19 Mei lepas ditamatkan.

Pengurus pasukan ME2023 Ayu Wanirah Naharudin dalam kenyataan memaklumkan beliau menerima maklumat daripada ketua misi itu, Azim Afif Ishak bahawa dron yang digunakan bagi operasi SAR berdepan masalah untuk menerima gambar dan video yang dirakam.

“Masalah ini mungkin berpunca daripada faktor cuaca sejuk menyebabkan dron berkenaan sukar untuk berfungsi dengan baik selepas tiga hari berturut-turut digunakan untuk operasi SAR,” katanya.

Muhamad Yusoff.

Sementara itu, Muhamad Yusoff berkata, pihaknya berharap Kerajaan Persekutuan dan Negeri menghulurkan bantuan kepada keluarga Muhammad Hawari memandangkan isteri serta dua anaknya turut berstatus OKU.

“Harap kerajaan ambil inisiatif untuk lihat kebajikan keluarga Muhammad Hawari dan kita harap bantuan yang diberikan itu bersifat kekal dan berterusan,” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast