Dua penjenayah ditembak mati sebelum pecah masuk rumah manakala dua lagi sedang diburu polis dalam kejadian awal pagi tadi di Cheras.

KUALA LUMPUR – Dua penjenayah bersenjatakan parang berjaya ditembak polis sebelum tidak sempat memecah masuk sebuah rumah, hari ini.

Kedua-dua suspek berbahaya itu ditembak mati oleh polis dalam kejadian di Lorong Jintan, Taman Supreme sekitar Cheras di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Komisioner Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, kegiatan jenayah kedua-dua suspek itu berjaya dihidu oleh sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur selepas menerima laporan polis yang memaklumkan terdapat pergerakan empat suspek lelaki yang agak mencurigakan pada jam lebih kurang jam 3.30 pagi tadi.

Katanya, empat penjenayah yang mengesan kehadiran polis kemudian bertindak mengeluarkan parang dan menyerang anggota polis yang berada di lokasi.

“Hasilnya dua penjenayah berusia lingkungan 30-an itu berjaya ditembak oleh anggota kami selepas cuba melarikan diri ke kawasan semak berhampiran manakala dua lagi telah meloloskan diri daripada polis.

“Pemeriksaan polis di lokasi berjaya menemui beberapa peralatan pecah rumah seperti pemotong besi yang dibawa oleh penjenayah yang merancang untuk pecah masuk rumah di kawasan kediaman itu.

“Kita telah mempergiatkan usaha dan sedang mengesan dua lagi suspek lelaki yang telah melarikan diri menggunakan sebuah kereta yang dipercayai menggunakan nombor pendaftaran palsu,” katanya kepada pemberita di lokasi kejadian pagi tadi.

Tambah beliau, sementara mayat dua penjenayah yang telah ditembak mati itu dihantar ke Hospital Canselor Tuanku Muhriz untuk menjalani proses bedah siasat.

Jelasnya, pihak polis masih melakukan siasatan lanjut mengenai penglibatan suspek dalam kes pecah rumah.

“Kita akan melakukan siasatan lanjut untuk mengenalpasti identiti kesemua penjenayah terbabit bagi mengesan dan menentukan sama ada terlibat dengan kes-kes jenayah yang lain atau tidak.

“Ketika ini kes sedang disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” tegasnya.-MalaysiaGazette