KUALA LUMPUR – Kerajaan melanjutkan pengecualian duti setem bagi pemilikan rumah pertama untuk menggalakkan pemilikan rumah dalam kalangan rakyat ini.
Kementerian Kewangan berkata, ia melibatkan pengecualian duti setem 100% diberi bagi pembelian rumah berharga tidak melebihi RM500,000 dan duti setem 75% diberi bagi pembelian rumah berharga melebihi RM500,000 sehingga RM1,000,000 mengikut program Pemilikan Rumah (HOPE).
Di bawah program itu, pemilikan rumah pertama menerusi Inisiatif Pemilikan Kediaman Malaysia (i-MILIKI) akan diberi pengecualian duti setem ke atas surat cara pindah milik dan perjanjian pinjaman.
Layanan duti setem ini terpakai bagi perjanjian jual beli yang disempurnakan dari 1 Jun 2022 sehingga 31 Disember 2023.
Selain itu, kerajaan juga telah bersetuju supaya duti setem ke atas surat cara pindah milik harta tanah secara kasih sayang melibatkan ibu bapa dan anak, datuk nenek dan cucu dikecualikan sepenuhnya terhad kepada RM1,000,000 pertama nilai harta tanah.
Baki selebihnya daripada nilai harta tanah tersebut tertakluk kepada kadar duti ad valorem dan diberi remisi sebanyak 50% ke atas duti setem yang dikenakan.
Tambahnya, layanan duti setem ini terpakai bagi surat cara pindah milik harta tanah yang disempurnakan mulai 1 April 2023. – MalaysiaGazette