Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman bercakap kepada media ketika hadir ke Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Foto MOHD ADZLAN, 09 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendedahkan, beliau sudah menghantar tiga kali surat rayuan terhadap penggantungan keahliannya, namun sehingga kini masih dipandang sepi.

Beliau berkata, walaupun pada mulanya hukuman penggantungan itu mahu dibuat pada tahun lepas, namun tindakan tersebut ditangguhkan bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), November tahun lepas.

“Tiada berita, saya sudah buat permohonan rayuan tiga kali, sejak sebelum pilihan raya pada November 2022, masa itu saya nak digantung.

“Oleh kerana nak pilihan raya, tak jadi gantung, ditangguhkan penggantungan itu, supaya saya boleh tolong bantu pilihan raya.

“Jadi saya kekal sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak, boleh bantu-bantu. Lepas pilihan raya, surat rayuan saya itu untuk dilepaskan daripada penggantungan itu diangkat balik semula dan rayuan saya itu ditolak,” katanya pada sidang media di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini, hari ini.

Pada 1 Oktober 2022, media melaporkan Tajuddin dan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar, Datuk Mohd Yusof Ismail sah digantung keahlian parti selama enam tahun atau dua penggal.

Keputusan itu ditetapkan dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO yang diadakan di Menara Dato Onn, 31 Julai 2022.

Tajuddin digantung kerana membuat kritikan secara terbuka yang disifatkan kepada parti, bukannya kepada Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.

Tambah beliau, rayuan pertama yang dihantarnya sebelum ini diterima yang mana beliau digantung selama enam hari sahaja dan semua jawatannya kekal termasuk sebagai Ketua UMNO Bahagian Pasir Salak.

“Rayuan pertama itu diterima untuk tempoh nak pilihan raya sahaja, lepas pilihan raya dia tak laku.

“Pada bulan satu (Januari 2023), masa itu presiden kata permohonan rayuan saya ditolak, jadi penggantungan saya kekal, penggantungan itu asalnya bermula pada bulan 11 (November 2022).

“Surat pertama nak gantung saya itu, enam hari sahaja gantung, itu ditangguh penggantungan itu sampai pilihan raya, lepas pilihan raya, elok senyap sahaja.

“Bila tiba bulan satu (Januari 2023), katanya surat rayuan saya itu ditolak,” katanya. – MalaysiaGazette