KUALA LUMPUR – Pemuda UMNO mengalu-alukan supaya Khairy Jamaluddin dan Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman untuk duduk bersama-sama bagi membantu dan memperkuatkan parti ini.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, pihaknya akan membuka ruang seluas-luasnya kepada bekas pemimpin parti itu untuk kembali membantu ‘menghidupkan’ semula parti ini.
“Pemilihan (parti) sudah berakhir, maka sekarang fokus kepada memperkuatkan UMNO. Jadi sesiapa yang betul-betul sayangkan UMNO kat luar, kita Pemuda alu-alukan mereka datang dan membantu Pemuda dan UMNO kerana yang penting kita mesti nak lihat UMNO kembali dipercayai rakyat,” katanya pada sidang media di Laman Media, Perhimpunan Agung UMNO (PAU2023), hari ini.
Sambil menzahirkan terima kasih kepada Khairy dan Tajuddin yang memujinya atas keberanian meminta DAP memohon maaf kepada UMNO, Akmal berkata, pujian itu membuktikan hati mereka masih dalam parti ini.
“Saya nak ucapkan terima kasih atas pujian. Saya percaya atas pujian itu bermakna Datuk Seri Tajuddin masih sayangkan UMNO, KJ pun saya dengar video dia kata masih sayangkan UMNO.
“Maksudnya KJ, Tajuddin masih ada harapan dalam UMNO. Sebab itu dalam ucapan dasar saya, saya beritahu UMNO berada dalam ‘lowest point’…jadi ini masanya semua orang yang sayangkan UMNO duduk semeja, bersatu padu,” tambahnya.
Jelas Akmal, bantuan yang boleh diberikan oleh mereka ada banyak cara.
“Ada orang tak nak masuk UMNO tapi nak bantu. Ada orang nak masuk UMNO tapi tak bantu. Tapi bagi saya membantu adalah dia rasa kita boleh terima dan dia boleh ikut institusi parti, saya rasa tak salah untuk kita terima semula,” ujarnya lagi.
Semalam, Khairy dan Tajuddin memuji keberanian Dr Akmal yang menuntut DAP memohon maaf kepada UMNO. – MalaysiaGazette