Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

KUALA LUMPUR – Kepimpinan Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) dijangka memuktamadkan pengagihan kerusi bagi enam pilihan raya negeri (PRN) hujung bulan ini.

Perkara itu disahkan oleh Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dalam sidang media selepas Perhimpunan Agung UMNO 2023 di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur di sini, hari ini.

“Saya fikir akhir bulan ini bergantung kepada waktu Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selaku Pengerusi Sekretariat Kerajaan Perpaduan,” katanya.

Beliau yang juga Pengerusi BN memberitahu, proses pengagihan kerusi dalam peringkat akhir untuk dimuktamadkan.

“Bila gabungan parti dalam PH telah memuktamadkannya kita akan dimaklumkan juga,” jelasnya.

Sementara itu, Ahmad Zahid berkata, setakat ini beliau masih belum menerima sebarang rayuan daripada pemimpin-pemimpin UMNO yang dipecat dari parti.

Untuk rekod, bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin dan bekas Ketua UMNO Bahagian Tanjung Karang, Tan Sri Noh Omar dipecat oleh UMNO pada 27 Januari lalu atas kesalahan melanggar disiplin parti semasa kempen Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15).

Ahmad Zahid juga meminta mereka yang belum mengemukakan rayuan supaya mengemukakan secara rasmi dan bertulis kepada Ibu Pejabat UMNO agar boleh dipertimbangkan oleh Lembaga Disiplin.

Ketika ditanya sama ada UMNO dan DAP bersedia untuk terus bergerak ke depan, Timbalan Perdana Menteri itu berkata, “Sudah tentu.” – MalaysiaGazette