KUALA LUMPUR – Saranan bekas pemimpin UMNO, Tan Sri Annuar Musa mahu orang Melayu dan Islam mengangkat parti Pas sebagai teras utama perjuangan ummah bukan suatu yang mengejutkan.
Setiausaha Agung Veteran UMNO Malaysia, Datuk Mustapha Yaakub berkata, ini kerana bekas Ahli Parlimen Ketereh itu sudah secara rasmi menyertai Pas dan sudah tentu akan memuji parti yang pernah mengkafirnya suatu ketika dahulu.
“Kenyataan beliau tidak mengejutkan kerana dia sekarang sudah menjadi ahli Pas. Saya ibaratkan Annuar ini penjual ikan. Dia pasti akan menjaja ikannya baru dan segar walaupun ikan itu ikan lama yang dibubuh ubat tahan lama dan disimpan dalam air batu.
“Jadi, bukan suatu yang pelik dengan kenyataan itu kerana ketika berada dalam UMNO, dia tahu apa yang dia kata kepada Pas dan sekarang bila berada dalam Pas dia mengata UMNO. Dia jilat Pas dan puji Pas melangit,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Annuar yang kini Pengerusi Muafakat Nasional (MN) mahu orang Melayu dan Islam perlu bersatu di bawah Pas yang lebih jujur berjuang untuk agama dan negara.
Katanya, orang Melayu dan umat Islam perlu segera disatupadukan di bawah panji-panji perjuangan yang lebih istiqamah dan lebih jujur menjunjung agama, bangsa dan negara.
Menurut Mustapha, tidak pelik kalau sekarang Annuar nampak Pas jujur berjuang untuk agama dan negara.
“Kejujuran Pas yang sanggup menjual dan memperalatkan agama yang dahulunya Annuar laung ke seluruh negara? Annuar sebenarnya tidak jujur kepada dirinya dan perjuangannya.
“Apa yang diperjuangkan oleh UMNO sejak merdeka ialah untuk mewujudkan sebuah negara yang aman harmoni melalui Perikatan dan Barisan Nasional (BN).
“Apakah itu tidak cukup sebagai bukti yang UMNO satu-satunya parti yang memperjuangkan negara bangsa dan menjaga kepentingan pelbagai kaum?” soalnya.
Mustapha turut menyifatkan Annuar cuba merasakan dirinya sebagai hero yang memperjuangkan matlamat perpaduan itu.
Ujarnya, UMNO tetap mengamalkan sikap kesederhanaan semasa menjadi tonggak kerajaan.
Sebab itu, kata beliau, UMNO bersedia berkongsi kuasa dengan MCA, MIC, Gerakan dan parti dari Sabah dan Sarawak malah UMNO pernah berkongsi kuasa dengan Pas di zaman Datuk Asri Muda.
“Itu buktinya UMNO boleh menjadi guru dan ada masanya UMNO menjadi murid.
“Saya sarankan kepada Annuar supaya lupakanlah UMNO. Dia telah memilih destinasi barunya. Selamat berjuang dalam Pas.
“Semoga dia dapat menyesuaikan dirinya dalam Pas dan berjaya menjadi tokoh penting Pas. Kami halalkan segala makan minum dan kesenangannya semasa dalam UMNO dulu. Cuma kami minta janganlah bila habis manis, sepah dibuang,” katanya. – MalaysiaGazette
ARTIKEL BERKAITAN:
Annuar mahu orang Melayu angkat Pas sebagai teras perjuangan ummah