Ahli Parlimen Kota Melaka, Khoo Poay Tiong bercakap pada sidang media selepas Mesyuarat Kedua Penggal Kelima Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur. Foto AMIRUL SHAUFIQ, 20 JULAI 2022.

KUALA LUMPUR – Sesi petang sidang Dewan Rakyat hari ini menarik perhatian apabila seorang ahli Parlimen blok kerajaan mempersoalkan mengenai dasar dan polisi kerajaan berkait taraf kewarganegaraan.

Khoo Poay Tiong (PH-Kota Melaka) ketika sesi perbahasan  berkata, pihaknya mendapati terdapat kelemahan daripada segi pelaksanaan dalam isu perolehan taraf kewarganegaraan mereka yang memohon.

“Kita boleh lihat ada pemain bola dari negara asing datang ke Malaysia, main tiga, empat lima tahun sudah boleh dapat warganegara. Apakah dasar kerajaan kita? Apakah polisi?

“Dalam hal ini (perolehan taraf kewarganegaraan), kita harap supaya diberi peluang sama rata kepada semua yang memohonnya.

“Saya lihat terdapat kelemahan daripada segi pelaksanaan dalam isu kewarganegaraan ini,” ujarnya beliau pada sesi perbahasan Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM) bagi tahun 2020 di Dewan Rakyat hari ini.

Bagaimanapun, Poay Tiong memuji langkah Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail yang menyasarkan untuk memproses sekurang-kurangnya 10,000 permohonan taraf kewarganegaraan pada tahun ini.

Menurutnya, jumlah yang memohon taraf kewarganegaraan negara ini adalah lebih daripada itu dan ada dalam kalangan pemohon telah memohon sehingga empat kali namun masih lagi tidak memperolehnya.

Poay Tiong mencadangkan agar kerajaan  melaksanakan satu sistem yang baik bagi mereka yang memohon taraf kewarganegaraan.

“Kita perlu mengkaji semula akta sedia ada supaya kita dapat bantu mereka. Sebagai ahli Parlimen, kita tahu apa yang berlaku di kawasan kita dan saya percaya ahli Parlimen lain juga sama.

“Kita sedia membantu kementerian (KDN), kerajaan dan kita boleh tolong kenal pasti kes-kes sedemikian (permohonan taraf kewarganegaraan),” katanya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast