Syed Saddiq Syed Abdul Rahman

KUALA LUMPUR – Timbalan Ketua Penerangan PKR, Razeef Rakimin menyifatkan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA) sebagai terdesak kerana memesongkan maklumat.

Ia didakwa dibuat demi Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi.

Katanya, Presiden MUDA, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman terlalu ghairah menggunakan skandal kapal tempur pesisir (LCS) di dalam Dewan Rakyat meskipun mengetahui isu tersebut sedang dalam penyelesaian.

“Saya ingin menasihati Syed Saddiq agar tidak terlalu gopoh menunggang isu yang sedang diselesaikan. Kerajaan Perpaduan hari ini telah memberi komitmen penuh dalam menyelesaikan isu ini serta ruang untuk berbahas dibuka seluas-luasnya setelah PAC memberikan laporan penuh.

“Kita faham dalam keadaan MUDA yang terdesak kerana tidak ada isu populis lain untuk ditunggang sempena Pilihanraya Negeri, MUDA perlu lebih matang dalam mengangkat suatu isu.

“Dalam keadaan sumber maklumat di hujung jari, cara Syed Saddiq yang sering memesongkan maklumat bakal memberikan kesan buruk bukan sahaja kepada MUDA malah kepada Kerajaan Perpaduan kerana MUDA sebahagian daripadanya,” katanya menerusi kenyataan.

Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar hari ini membidas Angkatan Muda Keadilan (AMK), sayap parti gabungan kerajaan berhubung LCS.

Beliau berkata, adalah pelik apabila AMK yang membantu isu berkenaan biar pun pernah lantang menyuarakan mengenai isu berkenaan sebelum ini.

Syed Saddiq turut mengemukakan satu usul tergempar di bawah peraturan mesyuarat 18 (1) bagi membahaskan isu projek pembinaan enam buah kapal LCS oleh Boustead Naval Shipyard Sdn.Bhd kepada Tentera Laut Diraja Malaysia.

Bagaimanapun usul berkenaan ditolak oleh  Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Johari Abdul kerana Syed Saddiq sendiri gagal menyatakan mengapa perkara itu perlu dibahas segera dan berkenaan kepentingan orang ramai.

Namun Syed Saddiq  menyindir Johari sambil menganggap usul berkenaan sengaja ditolak.

Mengulas lanjut, Razeef berkata, Syed Saddiq telah memberikan imej buruk kepada Speaker Dewan Rakyat apabila mengeluarkan kenyataan separa benar.

Sebaliknya beliau menegaskan, Pakatan Harapan (PH) tidak pernah lari daripada cuba menyelesaikan skandal yang kini masih dalam penyelesaian.

Sebagai rekod, isu pembinaan enam LCS yang telahpun diterima oleh Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) dan hampir kepada penyelesaian oleh kerajaan. – MalaysiaGazette