Pendakwah bebas, Mohamad Wadi Annuar Ayub

KUALA LUMPUR – Pendakwah bebas, Ustaz Wadi Annuar menjelaskan beliau pulang awal selepas menghadiri majlis resepsi pasangan pelakon, Janna Nick dan Dini Schatzmann di sebuah resort terkemuka di Langkawi kelmarin.

Menurut Ustaz Wadi Annuar atau nama sebenarnya, Mohamad Wadi Annuar Ayub, beliau telah dijemput oleh tuan rumah untuk menghadiri majlis perkahwinan dan mengetuai bacaan doa.

Ketika sampai di majlis tersebut, dia tidak melihat pengantin lelaki mahu pun perempuan lagi sebelum diminta pihak penganjur untuk duduk di suatu tempat.

“Selepas lebih kurang 10 minit, pengerusi majlis buat pembukaan sedikit dan mengumumkan untuk saya baca doa. Ketika itu, pengantin tiada lagi.

“Kemudian, selesai membaca doa, pengerusi majlis umum perarakan masuk pengantin dari hujung sana. Saya pun tengok dan terus beritahu pembantu saya, lepas ini kita kena terus balik.

“Jadi saya ambil keputusan tidak makan, tidak bergambar, tidak bersama dengan tentatif sehingga ke akhir majlis. Saya buat keputusan untuk terus balik,” katanya dalam siaran langsung di akaun TikToknya hari ini.

Foto media sosial.

Terdahulu, kecoh di media sosial apabila ramai pengguna meluahkan rasa segan apabila melihat kehadiran agamawan ke majlis resepsi pasangan berkenaan.

Wadi Annuar yang duduk di barisan hadapan tetamu dalam majlis itu juga kelihatan janggal apabila perlu melihat pengantin serta tetamu yang hadir dalam keadaan seksi dan tidak menutup aurat.

Wadi Annuar menambah, dia tidak tahu apa yang akan berlaku dalam majlis itu kerana dijemput hanya untuk makan kenduri dan bacaan doa.

“Apabila melihat keadaan sebegitu, saya terus ajak pembantu saya beransur selepas pengantin beredar dan memang kami balik pun. Boleh tanya penganjur.

“Itu yang diajar oleh agama Islam iaitu tidak memalukan orang, tidak menimbulkan persepsi yang negatif, tidak menjatuhkan tuduhan dan fitnah pada orang.

“Hukum tetap hukum tetapi pada masa yang sama kita tidak mahu keruhkan keadaan.

“Alhamdulillah semuanya tenang, pengantin pun okay tidak rasa apa-apa, saya pun menghadiri kenduri kahwin wajib. Apabila saya sampai, baru saya tahu keadaan di situ dan kemudiannya beredar,” ujarnya. – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast