KUALA LUMPUR – Seorang kanak-kanak lelaki berusia dua tahun antara tiga mangsa cedera dihempap dinding tembok sebuah rumah yang runtuh di Kampung Pinggiran di Gombak, hari ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata ketiga-tiga mangsa warga tempatan itu adalah daripada satu keluarga dan menetap di rumah terbabit.
“Dua lagi mangsa merupakan seorang lelaki berusia 35 tahun cedera parah di bahagian badan dan seorang wanita berumur 30 tahun cedera ringan.
“Pihak bomba memberi rawatan awal kepada semua mangsa dan seterusnya ketiga-tiga mangsa diserahkan kepada pasukan perubatan untuk rawatan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.- BERNAMA