Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menyerahkan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) kepada penerima yang hadir pada Majlis Sumbangan Rahmah di pekarangan Bank Simpanan Nasional Meru hari ini.

KUALA LUMPUR – Lebih 8 juta individu akan menerima Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 3 sebelum Aidiladha dengan jumlah bayaran antara RM100 hingga RM1,300.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pemberian berkenaan melibatkan peruntukan lebih RM2 bilion.

Sementara itu Anwar memberitahu Dewan Rakyat, sehingga Mei lalu sebanyak RM158 bilion atau 41% daripada keseluruhan peruntukan Belanjawan 2023 telah dibelanjakan.

“Antara inisiatif yang akan dilaksanakan pada hujung Jun 2023 ialah Program eBelia Rahmah yang menawarkan kredit sebanyak RM200 kepada semua belia berusia 18 hingga 20 tahun serta pelajar institusi pengajian tinggi awam dan swasta sepenuh masa.

“Peruntukan sebanyak RM400 juta disediakan bagi tujuan ini dan memanfaatkan 2 juta penerima,” kata beliau.

Anwar menjawab soalan Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad (Parit Sulong-BN) yang meminta Perdana Menteri menjelaskan pembaharuan yang dibuat oleh Kerajaan dalam pendekatan serta tatakelola undang-undang atau peraturan untuk mengekang ketirisan dan kebocoran wang awam.

Noraini turut meminta Perdana Menteri menyatakan adakah Kerajaan akan meneruskan pelaporan perbelanjaan dan pemantauan belanjawan.

Anwar berkata, beberapa pengarahan baharu dan tegas telah dilaksanakan bagi mengekang ketirisan daripada terus berlaku.

Ini termasuk membatalkan kelulusan rundingan terus bagi projek belum dimuktamadkan dan ditender semula dengan segera terutamanya melibatkan projek-projek rakyat seperti rancangan tebatan banjir.

Melaksanakan pemberian subsidi yang lebih bersasar bermula dengan subsidi elektrik.

Langkah-langkah lebih tegas dan giat dilaksanakan oleh badan penguat kuasa bersama-sama pihak industri bagi mengekang ketirisan hasil dan subsidi angkara sindiket penyeludupan seperti diesel, arak dan rokok.

Menamatkan unsur monopoli dalam sektor ekonomi termasuk dalam pengimportan makanan. Kerajaan juga menetapkan model dwirangkaian bagi 5G untuk meningkatkan perkhidmatan kepada pengguna.

Bagi melaksanakan pembaharuan tatakelola kewangan Kerajaan yang lebih menyeluruh, Akta Tanggungjawab Fiskal serta Akta Perolehan Kerajaan akan dibentangkan.-MalaysiaGazette