KUALA LUMPUR – Lembaga Tabung Angkatan Tentera berjaya mengambil alih Boustead Holdings Berhad (BHB) pada tarikh tutup tawaran semalam.
Pegangan saham LTAT dalam BHB kini berjumlah kira-kira 97.63% yang membenarkan BHB untuk dinyahsenaraikan dan menggunakan peruntukan Pengambilalihan Wajib bagi baki saham, lantas menjadikannya anak syarikat milik penuh LTAT.
Selaras dengan ini, BHB akan mengambil langkah-langkah yang diperlukan untuk mengemukakan permohonan kepada Bursa Securities bagi mengeluarkan status penyenaraiannya daripada Senarai Rasmi Bursa Securities, selaras dengan perenggan 16.07 Keperluan Penyenaraian.
Ketua Eksekutif, Datuk Nazim Rahman berkata, penswastaan BHB menandakan titik permulaan baharu dan melambangkan detik bersejarah bagi LTAT.
“Tindakan korporat ini merupakan batu asas kepada perjalanan transformasi LTAT yang amat penting untuk kejayaan pelan pengimbangan semula portfolio yang ditunjangi oleh Rangka Kerja Perumpukan Strategik (SAA).
“Dengan kejayaan ini, kami percaya bahawa nilai komersil BHB akan dibuka, dan menyerlahkan potensi sepenuhnya bagi meningkatkan aset di bawah
pengurusan kami, yang akhirnya memberikan pulangan yang mampan kepada pencarum kami iaitu anggota angkatan tentera,” katanya.
Nazim berkata, LTAT mahu meningkatkan usaha penciptaan nilai dengan melaksanakan strategi penjajaran yang lebih baik dengan semua peringkat.
Model milikan penuh tersebut, ujarnya, membolehkan LTAT menggunakan budi bicara sepenuhnya dan mengkaji dengan lebih mendalam mengenai kesulitan yang dihadapi oleh konglomerat tersebut dengan lebih cepat.
“Kami berazam untuk melaraskan semula BHB sepertimana objektif pelaksanaan penswastaan ini,” katanya.
BHB, yang telah diseneraikan di Bursa Malaysia pada tahun 1961, mempunyai sejarah yang panjang sejak hampir 200 tahun yang lalu.
Sejak penyenaraiannya, ia telah berkembang kepada sektor utama dalam ekonomi Malaysia termasuk perladangan, hartanah &
perindustrian, farmaseutikal, industri berat serta perdagangan, kewangan & pelaburan. – MalaysiaGazette















