Presiden Pertubuhan Keperihatinan Jenayah Komuniti Malaysia, Tan Sri Musa Hassan menyerahkan memorandum kepada Timbalan Pengarah (Pengubahan wang haram/Siasatan perakauanan forensik), DCP Dato’ Muhammad Hasbullah Ali berkaitan Mangsa Penimpuan Pelaburan Kutu di Menara KPJ, Kuala Lumpur. Foto MUHD NA’IM, 13 JUN 2023.

KUALA LUMPUR – Sebilangan besar mangsa skim kutu yang dikenali ‘Ekstra Saving Sapiza’ menggesa Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) memberikan perkembangan tentang siasatan kes penipuan itu.

Setiausaha Agung Pertubuhan Kemanusiaan Masyarakat Antarabangsa Malaysia (MHO), Datuk Hishamuddin Hashim berkata, majoriti daripada 40 mangsa yang hadir di Ibu Pejabat JSJK hari ini mendakwa tidak mendapat maklum balas daripada pihak berkenaan selepas hampir lima bulan laporan polis dikemukakan.

Ujarnya, situasi tersebut mengundang kebimbangan mangsa yang inginkan nasib dan hak mereka terbela.

“Apa yang berlaku kes ini berdasarkan laporan polis lima bulan lalu cuma pengadu-pengadu agak bimbang kes mereka tidak mempunyai perkembangan jadi mereka telah membuat aduan kepada MHO meminta kami membawa isu ini kepada jabatan berkenaan.

“Kita menggunakan peruntukan undang-undang yang ada iaitu Seksyen 170A Kanun Acara Jenayah yang mana pengadu berhak untuk bertanya dalam masa 14 hari,” katanya ketika sidang media di JSJK Bukit Aman yang terletak di Jalan Tun Razak, di sini, hari ini.

Turut hadir, Presiden Pertubuhan Keprihatinan Jenayah Komuniti Malaysia (MCCC), Tan Sri Musa Hassan.

Hishamuddin mendakwa, ada pengadu yang sedang mendapat tekanan daripada pihak tertentu supaya kes berkenaan ditarik semula, sekali gus akan membebaskan dalang skim kutu tersebut.

“Perkara ini membimbangkan. Mereka menyatakan tidak mahu menarik balik laporan kerana nekad untuk mengheret dalang Kutu Sapiza dituduh di mahkamah untuk mendapatkan keadilan,” tegasnya.

Febuari yang lalu, MHO mendakwa skim kutu ‘Ekstra Saving Sapiza’ telah menipu 1,000 mangsa dan menyebabkan kerugian sehingga RM50 juta.

Modus operandi skim tersebut adalah menampilkan iklan menarik di pelbagai platform media sosial dengan menjanjikan pulangan lumayan antara 10 hingga 60 peratus daripada wang yang dilaburkan.

Menurut Hishamuddin, mangsa skim kutu tersebut bersedia untuk membantu pihak polis mengemukakan bukti baru dan keterangan tambahan sekiranya diperlukan.

“Pengadu-pengadu ingin berikan bukti-bukti tambahan kepada pihak polis bagi melicin dan membantu siasatan polis supaya kes ini dapat diselesaikan, seterusnya diberikan kepada pihak Peguam Negara,” tambah beliau.

Dilaporkan sebelum ini, ‘ibu kutu’ bersama tujuh ejennya sudah ditahan oleh JSJK Bukit Aman untuk siasatan lanjut. – MalaysiaGazette